March 4, 2016

Kereta guru hangus

FOTO ihsan bomba

Seremban: Seorang guru yang baru tiba di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Senawang 3, di sini, selepas mengambil keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pelajar sekolah itu di Pejabat Pendidikan Daerah, menempuh detik cemas apabila keretanya terbakar, pagi ini.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, guru wanita berusia 54 tahun terbabit memandu pacuan empat roda jenis Ford Kuga masuk ke kawasan sekolah berkenaan sebelum menyedari bahagian enjin berasap.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, N Sundaram berkata, pihaknya menerima panggilan jam 11.32 pagi daripada guru terbabit lalu segera ke lokasi bersama sebuah jentera dan tujuh anggota.

Menurutnya, guru terbabit memberhentikan kenderaan di kawasan lapang sebelum menghubungi bomba.

"Sebaik pasukan tiba, api sedang marak dan kita mengambil masa kira-kira 10 minit untuk memadamkan kebakaran sepenuhnya. Bagaimanapun, kenderaan itu musnah 100 peratus," katanya.

myMetro 3 Mac 2016



0 comments:

Post a Comment