March 11, 2016

Kental semangat seorang guru

Sokongan pihak sekolah dan rakan guru yang lain memberi semangat luar biasa kepada Siti Intan Baizura

Kepayahan yang dihadapi tidak sedikit pun menghalang Siti Intan Baizura terus berbakti sebagai seorang pendidik.

KAMPUNG BINJAI KERTAS - Biarpun terpaksa berkerusi roda ke sekolah, keadaan itu tidak sedikit pun menjadi halangan buat Siti Intan Baizura Musa, 33, menjalankan tugasnya sebagai seorang pendidik di Sekolah Kebangsaan Binjai Kertas, di sini.

Malah, beliau tetap bersemangat mencurahkan bakti kepada anak didik meskipun keadaan diri tidak seperti guru lain setelah menghadapi komplikasi gangguan berpunca daripada pembentukan salur darah tidak normal di bahagian tulang belakang.

Menurutnya, setelah tujuh tahun bergelar guru, dirinya tidak pernah menyangka terpaksa berkerusi roda bermula awal bulan ini untuk pergi mengajar selain perlu mengharapkan bantuan keluarga menghantar dan menjemputnya dari sekolah.

Kaki sering kebas dan semakin lemah

“Sebelum ini saya sering rasa kebas di bahagian kaki dan akan lebih terasa sewaktu nak tidur. Tapi, saya anggap ia situasi biasa sehinggalah sekitar 2011, apabila saya dikesan alami masalah di bahagian tulang belakang melibatkan salur darah.

“Saya dapatkan rawatan awal di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian dan seterusnya ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Kuala Lumpur.

“Sepatutnya saya perlu jalani rawatan susulan di HUKM secara berterusan tetapi masa saya begitu terhad kerana menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana di Universiti Utara Malaysia pada 2012. Kebas dan berdenyut di bahagian  kaki saban hari semakin kuat dirasakan.

“Kaki saya juga semakin lemah dan ketika mendapat rawatan di HUKM pada Ogos 2015, saya dimaklumkan ia akibat komplikasi salur darah pecah. Doktor juga maklumkan, kedua-dua kaki saya tidak dapat berfungsi sekali gus akan lumpuh,” katanya.

Terima sokongan rakan guru

Tambah guru subjek Bahasa Inggeris dan Sains ini, walaupun berita itu agak mengejutkannya tetapi dia tidak menangis atau sedih sebaliknya hati kecilnya terus berbisik mengatakan dia mampu berjalan seperti sediakala sekali gus terus kekal berfikiran positif.

“Akibat masalah kesihatan juga, saya perlu cuti panjang sebelum kembali mengajar awal bulan ini dengan berkerusi roda. Walaupun dalam keadaan begini, saya tidak rasa kekurangan apatah lagi rakan guru yang lain sentiasa memberikan sokongan selain ahli keluarga.

“Alhamdulillah, murid-murid saya juga memahami dan memberi kerjasama ketika proses pengajaran serta pembelajaran. Pihak sekolah juga sangat prihatin dan banyak memberi kelonggaran termasuk menyediakan kelas di tingkat bawah.

“Saya juga gagahkan diri berdiri menggunakan tongkat dengan disokong alat bantu khas yang dipakaikan pada kaki. Saya tidak mahu terlalu bergantung pada kerusi roda semata-mata,” ujarnya yang mula mengajar di SK Binjai Kertas pada 2014.

Pihak sekolah prihatin

Sementara itu, Guru Besar SK Binjai Kertas, Siti Rohani Abdul Samad berkata pihak pengurusan sekolah memberi kebenaran kepada guru yang tinggal di Kampung Beladau Kolam, Manir itu untuk menggunakan bilik sains sewaktu mengajar termasuklah ketika subjek Bahasa Inggeris.

“Bilik sains ini terletak di tingkat bawah dan digunakan sepenuhnya oleh beliau untuk mengajar di situ. Murid-murid tahun 2, 3 dan 4 bukan sahaja akan ke bilik sains pada masa subjek Sains tetapi juga sewaktu masa Bahasa Inggeris bagi murid Tahun 2.

“Cikgu Siti Intan Baizura seorang pendidik yang kuat semangat dan tidak menjadikan keadaan dirinya sebagai satu kekurangan atau alasan. Dia juga sanggup beli alat bantu mengajar seperti LCD demi memastikan dia terus dapat curahkan ilmu,” katanya.

Selain itu, di sekolah yang sama, terdapat juga seorang murid Tahun 6, Nur Syahirah Mohd Zukri yang terpaksa menggunakan tongkat untuk berjalan setelah terlibat kemalangan pada 18 November lalu ketika membonceng motosikal bersama ibu saudara sewaktu pulang dari sekolah.

Dalam kejadian tersebut, kaki kanan Nur Syahirah tersepit celah lidi motosikal dan kesan insiden itu, dia yang tinggal di Kampung Kuala Akob mengalami kecederaan termasuk putus urat keting dan hanya memulakan persekolahan sesi 2016 pada 17 Februari lalu.

Sinar Harian 10 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment