March 13, 2016

'Kenang saya masa hidup'

HAMIDIN (kanan) bertanyakan sesuatu kepada Yusoff yang terlantar sakit akibat penyakit batu karang.

Alor Setar: Saya dah dilupakan...kenanglah saya ketika masih hidup, jangan dikenang selepas saya pergi (mati),” kata bekas penjaga gol kebangsaan, Datuk Mohd Yusoff Bakar, 81.

Bekas Pengarah Jabatan Penjara Malaysia Kedah itu berkata, keadaan kesihatannya kini lemah dan bergantung kepada susu disyorkan pihak hospital kerana tidak mempunyai selera makan berikutan penyakit dihidapi.

Walaupun begitu, katanya, beliau bersyukur kerana mempunyai ahli keluarga dan rakan terdekat prihatin kerana banyak membantunya termasuk dari segi pembelian peralatan seperti katil khas dan kerusi roda.

Katanya, sejak hampir setahun lalu, beliau berhenti menjalani rawatan penyakit buah pinggang selepas disarankan doktor berikutan keadaannya lemah.

“Saya berasa amat gembira pada hari ini (semalam) kerana dikunjungi pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Terima kasih juga diucapkan kepada TV3 dan akhbar Harian Metro atas liputan dibuat sebelum ini kerana ia membuka mata pihak di luar terhadap saya.

“Saya berharap pemain lama bersama-sama saya yang pernah mengharumkan nama negara suatu ketika dulu terus mengingati saya seperti mana mereka mengenali saya sebelum ini. Saya berharap mereka semua berada dalam keadaan baik.

“Walaupun saya kini terlantar, saya terus berjuang sehingga ke hujung nyawa,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Syed Mohamad, Off Jalan Sultanah, di sini, semalam.

Terdahulu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin bersama Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Jefferey Low Han Chau dan Setiausaha Kehormat KFA, Datuk Aminuddin Omar, menziarahi Yusoff di kediamannya sebagai menghargai jasa bekas atlet kebangsaan itu.

Dalam kunjungan itu beliau menyerahkan sepasang jersi bola sepak kepada Yusoff sebagai cenderahati kepada warga emas terbabit.

Pada masa sama, Yusoff menasihatkan pemain bola sepak muda supaya komited terhadap permainan dan mengetepikan soal wang semata-mata selain menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi.

“Saya tidak menonton bola sepak kerana semangat pemain muda sekarang tidak sama macam pemain dulu. Kami bersemangat kerana bermain bola sepak, bukan sebab duit.

“Kami anggap ia seperti pekerjaan dan perlu bermain bersungguh-sungguh untuk dinaikkan pangkat. Pemain baru mereka perlu komited terhadap permainan, jangan fikir duit,” katanya.

Sebelum ini, Harian Metro pernah melaporkan keadaan Yusoff kini terlantar di atas katil berikutan keadaan fizikalnya semakin susut sejak setahun lalu akibat masalah buah pinggang dan batu karang.

Beliau juga kini tidak mampu berjalan kerana kedua-dua kakinya lemah dan hanya bergantung kepada kerusi roda untuk bergerak.

myMetro 11 Mac 2016



0 comments:

Post a Comment