March 4, 2016

Kemalangan di KM265.4: Lebih 24 jam baru jumpa


Empat mayat rentung ditemui di dalam kereta ini. FOTO ihsan bomba

Ipoh: Kemalangan membabitkan treler pada 1 pagi semalam di Kilometer 265.4 Lebuhraya PLUS arah selatan dekat Jelapang, di sini, disangka tidak membabitkan kenderaan lain, namun pada 11 pagi tadi selepas treler itu dialihkan, ada kereta di bawahnya dengan empat mayat rentung di dalamnya.

Lebih memilukan, mayat yang belum dikenal pasti identiti itu hanya ditemui dalam tempoh lebih 24 jam.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, ada dua kemalangan di kawasan berkenaan, iaitu yang membabitkan treler terbabas dan terbakar sehingga api merebak membakar kawasan hutan seluas 0.8 hektar.

Katanya, pada masa sama, lori membawa muatan buah-buahan dipandu seorang lelaki terbabas dan melanggar papan tanda menyebabkan mangsa maut di lokasi kejadian.

“Kejadian membabitkan treler itu disangka tidak membabitkan kenderaan lain dan hanya pemandu serta kelindan cedera. Bagaimanapun, selepas treler itu dialihkan pagi tadi, kereta jenis Honda Accord yang terbakar keseluruhannya ditemui dengan empat mayat rentung di dalamnya.

‘Keempat-empat mayat itu masih belum dikenal pasti identitinya berikutan keadaannya yang rentung manakala nombor pendaftaran kereta itu juga gagal dikenal pasti kerana sudah pecah dan terbakar,” katanya.

Menurutnya, pihaknya akan menyiasat sama ada keempat-empat mayat ditemui itu mempunyai kaitan dengan laporan dibuat di Terengganu mengenai satu keluarga dalam perjalanan dari Kedah untuk ke negeri itu yang dilaporkan hilang.

"Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seskyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

myMetro 4 Mac 2016


Keluarga Ketua Polis Pahang

(Dari kiri) Danial, Azhar, Aizat, dan Rosmani meninggal dunia selepas terbabit kemalangan di Kilometer 265.4 Lebuhraya PLUS arah Selatan dekat Jelapang, semalam.

Ipoh : Ketua Polis Pahang Datuk Seri Sharifuddin Abd Ghani mengesahkan empat mayat rentung ditemui dalam kereta di Kilometer 265.4 Lebuhraya PLUS arah Selatan dekat Jelapang, di sini pagi tadi adalah kakaknya, anak saudara dan dua cucu saudaranya.

Sharifuddin berkata, urusan jenazah diuruskan oleh salah seorang saudaranya di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh di sini sebelum dibawa ke Terenggaanu untuk dikebumikan.

"Keempat-empat mereka dipercayai dalam perjalanan dari utara ke Shah Alam untuk mengambil keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) salah seorang cucu saudara yang belajar Di Kolej Tentera Diraja (RMC)," katanya ketika dihubungi.

Katanya, kakaknya yang meninggal dunia ialah Rosmani Abd Ghani, 65, anak Rosmani yang memandu kenderaan iaitu Azhar Abdul Rahim, 44 dan dua cucu saudaranya yang juga anak kepada Azhar iaitu Aizat Azhar, 18, dan Danial Azhar,13.

myMetro 4 Mac 2016


'Sekelip mata hilang insan tersayang'

KERETA ditemui terbakar. (Gambar kecil) Mangsa (dari kiri) Mohammad Danial (kiri), Mohd Azhar (kiri), Rosmani dan Aizat. FOTO Muhaizan Yahya/Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

Kuala Nerus: "Saya hanya mengetahui kejadian itu selepas menunaikan solat Jumaat dan dalam sekelip mata, saya hilang empat insan tersayang," kata Abdul Rahim Talib, suami kepada Rosmani Abd Ghani yang rentung dilanggar treler di Kilometer 265.4 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan berhampiran Ipoh, Perak.

Menurut Abdul Rahim, 69, sebelum ini, menantunya di Setia Alam menghubunginya selepas isteri, anak dan dua cucu tidak sampai di rumahnya.

"Bimbang dengan situasi itu, kami sekeluarga cuba menghubungi mereka tetapi tidak berjaya.

"Saya pun mengambil keputusan untuk membuat laporan polis mengenai kehilangan mereka.

"Bagaimanapun petang tadi saya dimaklumkan isteri, anak dan dua cucu itu sudah tiada," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Wakaf Tengah, Mengabang Telipot, di sini.

Mangsa, Rosmani Abd Ghani, 65, menaiki kenderaan terbabit bersama anaknya, Azhar Abdul Rahim, 44, dan dua cucu yang dikenali sebagai Aizat Azhar, 18, dan Danial Azhar, 13, maut di lokasi kejadian itu.

Difahamkan, semua mangsa dalam perjalanan dari utara menghala ke Shah Alam untuk mengambil keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seorang daripada mangsa yang menuntut di Maktab Tentera Diraja (MTD).

myMetro 4 Mac 2016


Empat sekeluarga satu liang

Kuala Nerus: Jenazah empat sekeluarga yang ditemui rentung dalam kereta di lebuh raya PLUS, arah selatan, dekat Ipoh, Perak, dikebumikan dalam satu liang lahad, di sini, pada 8.30 pagi ini.

Jenazah Rosmani Abd Ghani, 65; anaknya, Azhar Abdul Rahim, 44; dan dua cucunya, Aizat Azhar, 18, dan Daniel Azhar, 13, dikebumikan di Tanah Perkuburan Hajar Kampung Gong Awang Lib.

Terdahulu, jenazah empat beranak itu tiba di perkarangan rumah mereka di Kampung Wakaf Tengah dari Ipoh, pada 5.30 pagi.

Semua jenazah kemudian disembahyangkan di Masjid Pantai Mengabang Telipot, pada 6.30 pagi.

Lebih 200 jemaah, termasuk penduduk kampung hadir sebagai penghormatan terakhir kepada semua mangsa.

Suasana sedih menyelubungi perkarangan rumah keluarga mangsa sebaik jenazah empat sekeluarga tiba.

Turut kelihatan Abdul Rahim Talib, 69, iaitu suami Rosmani dan Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Sharifuddin Abd Ghani yang juga adik kepada Rosmani yang dilihat tenang sepanjang proses pengebumian.

Hadir sama memberi penghormatan terakhir, Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Ab Rahman dan isteri serta semua pegawai kanan polis Kontinjen Terengganu dan Pahang.

Jenazah empat sekeluarga itu ditemui di bawah treler, di Kilometer 265.4 lebuh raya PLUS, dekat Jelapang, Ipoh, kira-kira 1 pagi semalam.

Pasukan penyelamat pada awalnya menyangka kemalangan hanya membabitkan treler tetapi tidak sangka menemui kereta dengan empat mayat di dalamnya.

myMetro 5 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment