March 9, 2016

Keluarga guru terkandas diselamatkan

LIMA sekeluarga yang terkandas di kuarters SK Ulu Budu diselamatkan. FOTO ihsan Bomba

Saratok: Lima sekeluarga yang terkandas di Kuarters Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Budu di sini akibat jambatan menghala ke sekolah itu runtuh diselamatkan pasukan penyelamat, petang tadi.

Mangsa yang terkandas ialah guru sekolah itu, Donilla Anyai, 35; adiknya, Nelson Rekan, 26; serta tiga anaknya, Bella Cassandra, 3; Clarissa Ashley, 6, dan Clepatra Angel, 10.

Mereka dibawa keluar oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Saratok kira-kira 2.30 petang.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Farhan Sufyan Borhan berkata, sekolah terbabit dilanda banjir kilat malam kelmarin namun air sudah surut.

"Hanya keluarga guru itu berada di kuarters, manakala murid asrama dan pekerja lain pulang ke rumah kerana cuti hujung minggu. Namun, sebaik banjir kilat itu surut, guru terbabit mendapati jambatan gantung yang menghubungkan sekolah dengan jalan utama sudah runtuh.

"Guru terbabit memaklumkan mengenai kejadian itu kepada guru besar, seterusnya menghubungi talian kecemasan untuk mendapatkan bantuan," katanya yang menerima panggilan kecemasan pada 12.10 tengah hari.

“Sekolah terbabit kini ditutup, sementara kerja membaik pulih jambatan dijalankan," katanya.

myMetro 7 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment