March 22, 2016

Kelar, tikam berkali-kali isteri


Johor Bahru: Wanita maut dikelar dan ditikam suami dalam kejadian di Jalan Mahsuri, Kampung Ulu Pandan, di sini, 10 pagi semalam.

Dalam kejadian itu, Noraini Abdul Rahim, 43, ditemui tertiarap di ruang tamu rumah berlumuran darah oleh anaknya berusia sembilan tahun selepas pulang dari sekolah kira-kira 2 petang.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung keadaan mangsa sebelum ke lokasi kejadian.

"Hasil siasatan awal mendapati terdapat luka akibat dikelar pada leher mangsa dan tikaman pada dada sebelah kiri bahagian hadapan serta beberapa tikaman di bahagian belakang.

"Kita percaya mangsa dikelar terlebih dahulu sebelum ditikam beberapa kali di bahagian badan," katanya.

Beliau berkata, suspek yang juga suami mangsa berusia 35 tahun ditahan di Bandar Baru Uda di sini, kira-kira 3 petang semalam.

myMetro 21 Mac 2016


Maut dikelar, ditikam suami kerana bertengkar

JOHOR BAHRU - Seorang tukang jahit ditemui mati dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah dipercayai dikelar dan ditikam oleh suaminya sendiri selepas berlaku pertengkaran di kediamannya di Jalan Mahsuri, Kampung Ulu Pandan, di sini, dalam kejadian kira-kira jam 10.00 pagi semalam.

Bagaimanapun insiden yang menimpa, Noraini Abdul Rahim,43 hanya disedari oleh anak sulung mangsa yang berumur 9 tahun selepas empat jam kemudian iaitu kira-kira jam 2.00 petang selepas pulang dari sekolah.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh, berkata, kanak-kanak terbabit terus membawa adiknya yang berumur lima tahun kerumah nenek mereka yang terletak kira-kira 20 meter daripada kediaman mereka bagi memaklumkan kejadian terbabit.

"Berdasarkan siasatan awal, jiran mangsa terdengar pasangan berkenaan bertengkar namun menganggap ia pertengkaran biasa.

"Mayat mangsa ditemui dalam keadaan berlumuran darah dalam keadaan tertiarap di ruang tamu kediaman berkenaan dan terdapat kesan kelar pada leher dan tikaman di bahagian dada kiri.

"Dalam masa kurang sejam kemudian iaitu kira-kira jam 3.00 petang, polis berjaya menahan suspek yang berumur 35 tahun di Jalan Padi Mahsuri 1, Bandar Baru Uda, di sini kira -kira 15 kilometer dari tempat kejadian.

“Hasil siasatan awal suspek yang bekerja sebagai tukang jahit mengaku mengelar dan menikam mangsa menggunakan gunting  selepas mendengar bisikan halus supaya membunuh isterinya,"katanya.

Sulaiman berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Mayat Noraini dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk bedah.

Sinar Harian 21 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment