March 20, 2016

Kejut tapi tidak bersahut

Rembau: Selepas lima jam kerani bank meninggal dunia akibat serangan jantung, seorang lagi pendaki bertemu ajal dipercayai masalah sama di kaki bukit Gunung Datuk, di sini, lewat petang.

Mangsa, Muhammad Hannan Kamarzaman, 26, menghembuskan nafas terakhir juga dipercayai akibat serangan jantung.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Ibrahim, berkata kejadian apabila mangsa sudahpun menamatkan pendakian.

“Siasatan awal mendapati lelaki itu mengikuti 30 rakan dalam rombongan dari Jasin, Melaka untuk mendaki Gunung Datuk.

"Sebaik menamatkan pendakian, kira-kira 6 petang, Muhammad Hannan, memberitahu rakan sangat letih dan tertidur 30 minit.

"Apabila rakan mengejutkan Muhammad Hannan untuk pulang, lelaki itu tidak menyahut," katanya.

Katanya, pemeriksaan nadi dibuat rakan mangsa mendapati ia tidak berdenyut.

"Sehubungan itu, panggilan dibuat terhadap pihak hospital dan polis," katanya.

Beliau berkata, pegawai perubatan yang tiba mengesahkan lelaki itu sudah meninggal dunia.

"Mayat dihantar ke Hospital Tampin, dekat sini untuk bedah siasat," katanya.

myMetro 19 Mac 2016


Seorang lagi maut di Gunung Datuk hari ini

REMBAU - Seorang lagi lelaki berusia 26 tahun maut ketika melakukan aktiviti mendaki Gunung Datuk hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.00 petang itu, mangsa, Muhammad Hannan Kamarzaman, 26, beralamat di Selandar, Jasin, disahkan maut oleh pasukan paramedik kira-kira jam 5.42 petang, di Tapak Kaki Gunung Datuk.

Difahamkan mangsa bersama lebih 20 lagi rakannya yang melakukan aktiviti yang dianjurkan syarikatnya dari Shah Alam.

Pegawai Pasukan Unit Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Masjid Tanah, Leftenen Muda, Muhammad Aliff Mohd Yusof berkata, pihaknya kebetulan menjalankan program di laluan Gunung Datuk dan dimaklumkan rakan mangsa berhubung kejadian itu.

"Mangsa telah rebah dan mulutnya mula mengeluarkan cecair ketika diberikan rawatan awal.

"Kami seramai 15 anggota bergegas ke lokasi yang terletak kira-kira 100 meter dari tapak kaki Gunung Datuk dan menemui mangsa dalam keadaan lemah namun masih mempunyai denyutan nadi.

"Kami membawa mangsa ke tapak kaki dan cuba memberikan bantuan CPR lebih 10 kali.  Namun mangsa tidak dapat diselamatkan," katanya.

Tengah hari tadi, seorang lelaki juga disahkan maut oleh paramedik ketika membawa mangsa turun dari gunung sama.

Mangsa, Chung Kwok Kwong, 54, beralamat di Petaling Jaya, Selangor disahkan maut di ketinggian kira-kira 200 meter dari arah laut pada jam 1.05 petang dipercayai kena serangan jantung.

Sinar Harian 19 Mac 2016


‘Along mati dulu dari ibu’

Fauziah mendakap erat jasad anaknya selepas menunaikan solat Maghrib dan membacakan surah Yasin di kaki Gunung Datuk, malam kelmarin.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tampin bagi proses bedah siasat.

Rakan sekerja yang setia di sisi mangsa di kaki Gunung Datuk, lewat petang kelmarin.

REMBAU - Ibu kepada Muhammad Hannan Kamarzaman, 26, lelaki yang maut ketika mendaki Gunung Datuk kelmarin tidak menyangka kata- kata anak sulungnya mengenai kematian sebelum ini yang dianggap sebagai gurauan menjadi kenyataan.

Fauziah Omar, 52 berkata, anaknya itu kerap berpesan dan berulang kali mengatakan perkara sama kepadanya agar tidak risau kerana dia akan pergi dahulu menghadap Ilahi.

“Arwah kerap kata ibu jangan risau, Along mati dulu dari ibu. Saya katakan mana boleh macam itu, Along masih muda, belum berkahwin, ibu sudah tua tentu ibu mati dulu.

“Along juga pernah menyatakan kepada saya untuk menunaikan haji atau setidak-tidaknya umrah dan meninggal dunia di Baitullah.

"Malah, walaupun baru sahaja bekerja, Along sudah mencukupkan simpanannya untuk melayakkan dia mendaftar menunaikan haji," katanya ketika ditemui Sinar Harian di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Tampin, semalam.

Fauziah yang merupakan guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Perak Jasin berkata, arwah anaknya itu ada meminta kebenaran daripadanya untuk mengikuti aktiviti riadah syarikat bersama 30 rakan sekerja mendaki Gunung Datuk.

Menurutnya, dia memberikan keizinan kepada anaknya memandangkan dia juga pernah pergi ke Gunung Datuk membawa ahli badan beruniform sekolah berkhemah di sekitar lokasi berkenaan suatu ketika dahulu.

“Arwah juga tidak pernah mengadu sakit pada saya, cuma berat badannya mulai naik semasa belajar di universiti.

"Bagaimanapun, semasa di universiti, arwah pernah menjadi pengurus pasukan hoki serta membawa pasukannya bertanding di Thailand.

“Ketika belajar di Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah, arwah juga aktif dalam sukan Ragbi.  Saya masih ingat lagi, arwah menyatakan semasa dia ditemu duga, dia dipilih untuk menjawat jawatan berkenaan kerana dia aktif dalam sukan,” katanya.

Dia berkata, ketika anaknya itu pengsan kira-kira jam 5.00 petang, dia ada menghubungi anaknya untuk bertanyakan keadaannya itu dan sekiranya anaknya itu penat, dia tidak perlu pulang ke rumah seperti yang dikatakan sehari sebelum kejadian.

“Masa saya hubungi, saya tertanya-tanya juga mengapa panggilan saya tidak diangkat, jarang Along tak angkat panggilan saya.

"Rupa-rupanya, semasa saya hubungi Along, dia sudah pengsan dan rakan-rakannya tidak mengangkat panggilan saya kerana tidak tahu apa yang perlu diberitahu.

“Tidak lama selepas itu, rakan anak hubungi saya dan memaklumkan keadaan Along, saya bergegas ke lokasi kejadian bersama keluarga,” katanya.

Jenazah Allahyarham Muhammad Hannan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Sedanan, Selandar, Melaka.

Sinar Harian semalam melaporkan insiden dua maut dalam kejadian berasingan ketika mendaki Gunung Datuk.

Kejadian satu lagi melibatkan seorang kakitangan sebuah institusi perbankan, Chung Kwok Kwong, 54 yang memulakan pendakian di Gunung Datuk bersama 17 rakannya itu  disahkan meninggal dunia dipercayai sakit jantung ketika berada di ketinggian 200 meter dari aras laut, kira-kira jam 1.05 petang.

Sinar Harian 21 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment