March 16, 2016

Kedah catat panggilan kebakaran belukar tertinggi

ALOR SETAR - Kedah mencatat panggilan kebakaran belukar tertinggi dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini ekoran fenomena El Nino, kata Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Wira Wan Mohd Nor Ibrahim.

Katanya, sepanjang tempoh 1 Jan hingga 13 Mac lepas, JBPM Kedah menerima sebanyak 1,248 panggilan kecemasan berkaitan kebakaran hutan berbanding 1,269 panggilan sepanjang 2015.

"Kebakaran turut melibatkan kawasan belukar, lalang, hutan, ladang dan sampah. Jumlah panggilan dalam tempoh tiga bulan sepanjang fenomena El Nino ini berlaku hampir sama dengan jumlah panggilan yang diterima JBPM Kedah bagi tempoh setahun.

"Kedah mencatatkan panggilan terbanyak dengan 1,248 diikuti Sabah (1,219 panggilan), Perak (991 panggilan) manakala Putrajaya hanya enam panggilan kecemasan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2015 di sini hari ini.

Beliau berkata sebanyak 7,757 kes kebakaran hutan dicatatkan di negara dari tempoh 1 Jan hingga 13 Mac dan kebakaran yang berpunca daripada kecuaian manusia.

"Banyak kebakaran berlaku akibat kecuaian manusia seperti melakukan pembakaran sampah secara terbuka dan membuang putung rokok sesuka hati," katanya.

Justeru beliau menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan sebarang pembakaran terbuka, berikutan fenomena cuaca panas dan kering ketika ini.

"Operasi memadam kebakaran terutama di kawasan hutan dan bukit seperti yang berlaku di Gunung Baling baru-baru ini sangat sukar kerana sumber air yang terhad. Anggota bomba perlu membawa bekalan air dari bawah selain menggunakan pesawat Agusta AW139 bagi memadamkan kebakaran," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, bagi meningkatkan mutu perkhidmatan, JBPM berusaha mengurangkan 'response time' selain akan menambah beberapa jenis peralatan untuk disesuaikan dengan kepelbagaian tugas jabatan berkenaan.

Terdahulu, Wan Mohd Nor menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada 144 warga JBPM Kedah, Perlis dan Pulau Pinang atas perkhidmatan yang cemerlang.

"Saya harap pengiktirafan ini dapat memberi semangat kepada semua warga JBPM dalam menjalankan tugas dan memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat selain membantu mempertingkatkan produktiviti dan kualiti kerja," katanya. - Bernama

Sinar Harian 13 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment