March 4, 2016

Kebakaran lalok

DUA rumah musnah selepas dibakar dua beradik di FELDA Umas, kelmarin.

Tawau: Dua beradik yang berada di bawah pengaruh dadah bertindak liar apabila membakar rumah didiami mereka selain turut menyebabkan rumah jiran mereka hangus dalam kejadian kebakaran di FELDA Umas, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan apabila semua penghuni menyelamatkan diri sejurus menyedari kejadian itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Mohd Razali Awang Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 1.37 petang dan mengerahkan enam anggota dengan jentera ke lokasi kejadian.

“Laporan memaklumkan kebakaran berlaku di Blok 6 FELDA Umas 4 membabitkan dua rumah milik peneroka.

“Sebaik tiba, bomba mendapati dua unit rumah hangus terbakar dan bomba lantas menjalankan operasi mengawal dan memadam kebakaran,” katanya.

Mohd Razali berkata, operasi tamat sepenuhnya jam 3.30 petang dan tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

“Bomba dimaklumkan seorang lelaki ditahan selepas dipercayai membakar rumah didiami ahli keluarganya sendiri.

“Bagaimanapun, lelaki berkenaan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurut Mohd Razali, anggaran kerugian dan punca kejadian dalam siasatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Fadil Marsus ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

“Dua beradik berusia 33 dan 39 tahun ditahan selepas dipercayai memulakan kebakaran.

“Hasil pemeriksaan mendapati, kedua-dua mereka berada di bawah pengaruh dadah,” katanya.

Fadil berkata, kedua-dua suspek tidak bekerja dan melakukan khianat membakar rumah mereka sehingga merebak ke rumah jiran.

“Seorang suspek ditahan turut mengaku ada mengambil syabu sebelum kejadian.

“Mereka kini ditahan di Balai Polis Kalabakan untuk siasatan lanjut,” katanya.

myMetro 3 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment