March 9, 2016

Kanak-kanak sawan terlantar 10 tahun

Muhammad Al Muhaimin terlantar sejak umur dua tahun.

Adnan menyampaikan sumbangan Fatimah,di kediamannya di Simpang Tiga, Sungai Durian,petang semalam

KUALA KRAI - Penyakit sawan yang dihidapi Muhammad Al Muhaimin Che Ibrahim, 12, merubah total kehidupannya kerana dirinya hanya mampu terlantar sejak 10 tahun lalu.

Ibu bapanya menyedari Muhammad Al Muhaimin menghidap sawan semasa dia berusia dua tahun kerana kerap menangis pada waktu malam.

Ibunya, Fatimah Abdullah, 60, memberitahu, sebelum diserang sawan Muhammad Al Muhaimin dapat duduk seperti kanak-kanak.

"Hati ibu mana tak sedih bila lihat keadaan anak begini. Tapi saya reda. Ini semua ujian ALLAH," katanya.

Fatimah memberitahu, anak bongsu daripada dua beradik itu ada menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300.

"Bantuan digunakan untuk beli susu dan lampin pakai buang untuk dia. Kami sekeluarga pernah juga gunakan wang itu untuk beli keperluan harian keluarga lepas suami diberhentikan kerja," katanya.

Menurutnya, kesempitan hidup menyebabkan dia dan suami Che Ibrahim Che Noh, 65, tidak ada pilihan selain menggunakan wang bantuan bulanan tersebut.

"Tapi saya lega sekarang sebab suami dah dapat cari kerja jadi pembantu kedai di Nilam Puri," katanya.

Bagaimanapun katanya, disebabkan jarak rumah dan tempat kerja Che Ibrahim agak jauh, suaminya itu terpaksa pulang ke rumah seminggu sekali.

"Sepanjang suami tak ada di rumah, saya tinggal dengan Muhammad Al Muhaimin dan anak sulung. Alhamdulillah, sekarang ni dengan pendapatan suami dan wang dari gaji anak sulung dapat kurangkan beban belanja keluarga.

“Anak sulung dah kahwin, dia pun tak dapat kerja berat sebab pernah menjalani pembedahan pada perut. Saya pula tak dapat keluar kerja sebab kena uruskan Muhammad Al Muhaimin. Tapi, macam mana pun saya tetap syukur sebab ada rumah sendiri walaupun dibina atas tanah rizab," katanya.

Tambahnya, Muhammad Al Muhaimin tidak bersekolah akibat penyakit dihidapinya.

"Walaupun tak bersekolah, dia faham apa yang dicakapkan orang sekelilingnya dan saya bersyukur sebab ada kalanya dia dapat bercakap,” katanya.

Masalah dihadapi keluarga ini mendapat perhatian NGO Generasi Al Falah Kuala Krai yang melawat keluarga ini petang semalam diketuai Pengerusinya Mejar (B) Datuk Adnan Hashim sekali gus menyampaikan bantuan wang, lampin pakai buang dan barang keperluan harian.

Sinar Harian 8 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment