March 13, 2016

Kanak-kanak lemas waktu berkelah

KUANTAN 5 Mac – Kegembiraan sebuah keluarga berkelah sempena cuti hujung minggu di Sungai Pahang berhampiran Kampung Salong, Pekan dekat sini semalam bertukar duka apabila seorang daripada mereka ditemukan mati lemas selepas dihanyutkan arus deras.

Kejadian kira-kira pukul 6.10 petang itu berlaku ketika mangsa, Muhammad Danish Ashraf Mohd. Kamarulezwan, 7, bersama sembilan ahli keluarganya sedang mandi di kawasan sungai tersebut yang dikenali penduduk tempatan dengan panggilan Pasir Lan.

Mayat mangsa yang berasal dari Felda Chini 3, Pekan ditemukan pada pukul 12.50 tengah hari ini di tebing sungai dekat Mambang, ia­itu kira-kira 10 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.

Ketua Polis Daerah Pekan, De­puti Superintenden Amran Sidek berkata, ketika sedang mandi, Muhammad Danish Ashraf yang dipercayai tidak pandai berenang secara tiba-tiba dihanyutkan arus deras dan ahli keluarganya tidak sem­pat menyelamatkannya.

“Polis yang menerima laporan berhubung kejadian menjalankan operasi mencari dan menyelamat dengan bantuan anggota bomba serta penduduk kampung,” kata­nya di sini hari ini.

Menurut Amran, mayat mangsa dihantar ke Hospital Pekan untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya bagi urusan pengebumian.

Utusan 6 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment