March 20, 2016

Kaki hancur terseret

MANGSA terbabit kemalangan mengerang kesakitan.

Balik Pulau: Seorang penunggang motosikal berusia 20-an terpaksa menanggung azab apabila kaki kanannya hancur diseret motosikalnya dalam kemalangan di Jalan Tun Sardon, di sini, pagi, semalam.

Dalam kejadian jam 8.40 pagi, mangsa dipercayai dalam perjalanan ke pusat bandar untuk bekerja, namun apabila tiba di kawasan selekoh di jalan berkenaan, mangsa cuba memotong sebuah kenderaan di hadapannya, tetapi gagal menyebabkannya bertembung dengan sebuah motosikal lain dari arah bertentangan.

Berikutan perlanggaran itu, mangsa tercampak ke atas jalan dan motosikalnya yang terbalik menyeret mangsa bersama-sama sehingga menyebabkan kaki kanannya hancur manakala kaki kiri dan beberapa bahagian lain cedera.

Saksi kejadian, Mohd Ramli Chik, 30, berkata, dia dalam perjalanan ke Balik Pulau dan menunggang motosikal di belakang mangsa.

“Saya lihat dia cuba memotong sebuah kereta, tetapi tidak berjaya lalu sebuah motosikal dari hadapan melanggarnya.

“Selepas dia tercampak, saya terus memberhentikan motosikal dan membantunya yang mengerang kesakitan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan Lai Fah Hin ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, di Jalan Sultan Azlan Shah, Bayan Lepas, muatan melebihi had dipercayai menjadi punca sebuah lori membawa air minuman terbalik, jam 11.45 pagi, semalam.

Pemandu lori dikenali sebagai Lai berkata, dia membawa lebih 200 botol air minuman 0.8 dan 2 liter dari arah Bayan Lepas dan mahu membelok ke kiri jalan, namun kenderaan itu terbalik secara tiba-tiba.

“Saya hendak belok ke kiri dan memasuki lorong kiri sebelum sampai ke simpang, namun lori menjadi tidak seimbang dan berat sebelah kiri.

“Lori ini kemudian terbalik dan botol air bertaburan di atas jalan. Saya mahu menghantar air ke kedai runcit di sekitar Sungai Pinang.

“Ini kali pertama saya terbabit kemalangan selepas hampir lima tahun menjadi pemandu lori penghantar air minuman dan bernasib baik kerana saya dan rakan tidak cedera,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

myMetro 19 Mac 2016



0 comments:

Post a Comment