March 2, 2016

Jiran baik hati bertempiaran lari

ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran di rumah milik Ros Ayu.

Kepala Batas: Beberapa penduduk yang masuk ke rumah sedang terbakar di Lahar Tabut, Penaga, dekat sini, kerana menyangka ada penghuni lumpuh terperangkap bertempiaran lari sebaik tong gas meletup, pagi semalam.

Penduduk, Johari Haron, 52, berkata, dia bersama empat penduduk lain memecah masuk rumah terbakar untuk menyelamatkan wanita lumpuh tanpa menyedari wanita itu tiada di rumah.

“Tidak sampai seminit kami dalam rumah, tiba-tiba tong gas meletup menyebabkan kami bertempiaran lari.

“Alhamdulillah, semua selamat dan tiada cedera,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Dalam kejadian jam 9.15 pagi itu, penghuni rumah, Ros Ayu Azizan, 28, baru keluar dari rumah manakala bapanya, Azizan Hashim, 71, juga tiada di rumah kerana mengerjakan umrah sejak Sabtu lalu.

Ros Ayu berkata, dia keluar rumah jam 9 pagi ke Kuala Muda, Penaga untuk mencari kepah sebelum pulang sebaik menerima panggilan telefon dari jiran memaklumkan rumahnya terbakar.

“Saya baru meredah selut 20 minit sebelum menerima panggilan dari jiran yang memberitahu rumah terbakar, lalu segera pulang.

“Sebaik sampai, saya hanya mampu melihat anggota bomba memadamkan api tanpa dapat menyelamatkan barang berharga,” katanya.

Ros Ayu berkata, dia tinggal di rumah bersama bapanya manakala adik beradik lain tinggal berasingan.

Menurutnya, sebelum ini ibu saudaranya, Faridah Darus, 50-an, yang lumpuh tinggal di rumah berkenaan, tetapi dibawa rakannya untuk menjalani rawatan penyakit kencing manis sejak sebulan lalu.

“Sebelum pergi mengerjakan umrah, bapa berpesan kepada saya dan jiran supaya menjaga rumah. Tak sangka pula rumah terbakar selepas dua hari dia pergi menunaikan umrah,” katanya yang mendakwa kerugian RM100,000.

Sementara itu, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Muda diketuai Penguasa Bomba Kanan II Mohd Radzi Ariffin bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan jam 9.22 pagi.

Mohd Radzi berkata, ketika sampai di tempat kejadian, api memusnahkan 90 peratus rumah sebelum dapat dikawal dua minit kemudian dengan bantuan jentera dari Kepala Batas serta pasukan bomba sukarela (PBS) Kepala Batas, Sungai Puyu dan Bagan Ajam.

myMetro 1 Mac 2016





0 comments:

Post a Comment