March 4, 2016

Jeritan awal pagi

NUR Fatihah menerima rawatan di HSB.

Alor Setar: “Saya terdengar suara menjerit meminta tolong ketika mengambil wuduk untuk menunaikan solat tahajud sebelum melihat kepulan asap dari rumah anak saudara,” kata Sharifah Nen Syed Ahmad, 74, selepas rumah keluarganya hangus dalam kebakaran di Lorong Seri, Jalan Langgar, di sini, awal pagi, semalam.

Dalam kejadian jam 3.50 pagi itu, cucu saudaranya, Nur Fatihah Sabri, 19, melecur kira-kira 30 peratus pada muka dan badan.

Difahamkan, Nur Fatihah dipercayai individu paling akhir keluar dari rumah itu mengakibatkan dia melecur akibat bahang panas selain sesak nafas disebabkan terhidu asap.

Dalam kejadian itu, ibu bapa Nur Fatihah iaitu Norlizawati Hamzah, 41, dan suami, Sabri Majid, 47, serta dua lagi anak, Iman Najmi, 14, serta Iman Fahmi, 9, berjaya menyelamatkan diri ketika api sedang marak.

Mereka dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk mendapatkan rawatan dan Nur Fatihah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Kebakaran manakala ibu, bapa dan dua adiknya hanya menerima rawatan di Zon Kuning HSB.

Kebakaran turut menyebabkan dua kenderaan pelbagai guna (MPV) dan dua motosikal milik mangsa rentung.

Sharifah Nen berkata, sebaik melihat kepulan asap, dia meminta anak perempuannya, Izzatul Fariza Ibrahim, 40, menghubungi anggota bomba selepas mendapati rumah anak saudaranya terbakar.

Menurutnya, ketika kejadian kebanyakan jiran sedang tidur dan ia disedari Nur Fatihah selepas terasa bahang panas sebelum mengejutkan ibu bapa serta adiknya.

“Sampai sekarang saya trauma kerana nampak api marak di bumbung sebelum rumah itu terbakar keseluruhannya.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana mereka sekeluarga terselamat,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Penguasa Kanan Bomba II Suriya Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 4.02 pagi dan tiba di lokasi kira-kira lima minit kemudian.

“Api berjaya dikawal pada jam 4.16 pagi dan hasil pemeriksaan mendapati seorang remaja perempuan melecur 30 peratus di muka manakala ahli keluarganya yang lain selamat.

“Punca dan jumlah kerugian sebenar masih dalam siasatan,” katanya.

myMetro 2 Mac 2016



0 comments:

Post a Comment