March 9, 2016

Isteri, anak terkorban

Kemalangan yang mengorbankan ibu dan anak, manakala suaminya selamat. FOTO Mohd Fadly Samsudin

Kuala Lumpur: Suami selamat, namun isteri dan bayi lelakinya berusia setahun maut selepas motosikal ditunggang terbabas sehingga dua beranak itu terjatuh dari cerun bukit setinggi kira-kira 15 meter di Taman Bukit Permai, Cheras di sini pagi tadi.

Dalam kejadian 9.30 pagi, wanita berusia 29 tahun itu membonceng motosikal bersama suami sambil mendukung bayinya sebelum terbabit kemalangan.

Ketua Polis Daerah Ampang Asisten Komisioner Hamzah Alias mengesahkan kejadian berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa cuba mengelak kenderaan sebelum terbabas.

"Mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat manakala suaminya parah dan kini dirawat di Hospital Ampang.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

myMetro 7 Mac 2016


Ibu, bayi 7 bulan maut kemalangan

KUALA LUMPUR - Seorang ibu bersama bayi lelakinya berusia tujuh bulan maut dalam kemalangan melibatkan sebuah motosikal dan kereta di Jalan Bukit Permai, Taman Bukit Permai, Ampang, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 9.30 pagi itu, Norzaimah Azizi, 29, seorang pegawai bank di Ampang dan bayinya, Eshan maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata kemalangan itu berlaku apabila motosikal ditunggang suami mangsa Mohamad Azmeer Alfaiedz Abd Aziz, 32, dipercayai cuba mengelak sebuah kereta di hadapannya ketika menuruni bukit dari arah Jalan Bukit Permai.

"Ketika cuba mengelak, motosikal ditunggang Mohamad Azmeer terbabas menyebabkan isteri serta bayinya tercampak ke bawah lereng bukit.

"Mohamad Azmeer hanya cedera ringan manakala mayat isteri dan bayinya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya hari ini.

Beliau berkata punca kejadian masih dalam siasatan. - Bernama

7 Mac 2016


Ibu, bayi maut jatuh cerun

Azmeer cedera pada muka selepas kemalangan yang meragut nyawa isteri dan anaknya di Jalan Bukit Permai, Ampang semalam.

KUALA LUMPUR – Niat murni seorang bapa ingin membawa bayi lelakinya yang demam untuk menerima rawatan berakhir tragedi apabila isteri dan anaknya maut dalam kemalangan di Jalan Bukit Permai 3, Taman Bukit Permai, Cheras, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.45 pagi itu, Mohamad Azmeer Alfaiedz Abd. Aziz, 32, dikatakan sedang me­nunggang sebuah motosikal jenis Modenas Ace 115 bersama isterinya, Nurzaimah Azizi, 29, yang mengendong bayi mereka, Eshan Harris Alhafiedz berusia tujuh bulan dalam perjalanan ke sebuah klinik berhampiran lokasi kejadian.

Difahamkan, sebaik tiba di jalan berkenaan, Moha­mad Azmeer cuba mengelak sebuah kereta yang datang dari arah bertentangan sebelum motosikalnya hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar tembok di kiri jalan tersebut.

Kosmo 8 Mac 2016


Sayu, pilu.... 


Mohamad Azmeer menyiram air di pusara isteri dan anaknya, malam tadi. FOTO Sairien Nafis

Kuala Lumpur: Allahyarham Norzaimah Azizi, 29, dan bayinya, Eshan, berusia tujuh bulan yang tercampak ke cerun bukit berbatu di Taman Bukit Permai, Ampang, di sini, pagi tadi akibat kemalangan motosikal, selamat dikebumikan di dalam satu liang lahad, 8.30 malam tadi.

Dua beranak itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Cheras Baru sambil diiringi suami Norzaimah, Mohamad Azmeer Alfaeidz Abd Aziz, 32, yang terselamat dalam kemalangan itu.

Tangisan Mohamad Azmeer yang berkerusi roda mengundang pilu dalam kalangan ahli keluarga dan kenalan yang hadir di tanah perkuburan berkenaan.

Terdahulu, 150 jemaah menunaikan solat jenazah di Masjid Nurussaadah, Kampung Cheras.

Dalam kejadian 9.30 pagi tadi, motosikal ditunggang Mohamad Azmeer terlanggar penghadang di bahu jalan ketika menuruni bukit dipercayai cuba mengelak kenderaan dari arah bertentangan.

Norzaimah yang membonceng motosikal dan mendukung Eshan, tercampak ke cerun bukit berbatu itu dan meninggal dunia akibat parah di kepala.

myMetro 8 Mac 2016


Ibu, bayi 7 bulan maut kemalangan


KUALA LUMPUR - Seorang ibu bersama bayinya berusia tujuh bulan meninggal dunia dalam kemalangan di Jalan Bukit Permai, Taman Permai, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, kejadian berlaku selepas motosikal yang dipandu suami mangsa Mohamad Azmeer Alfaiedz, 32, dipercayai terbabas selepas cuba mengelak sebuah kenderaan di hadapan.

Menurutnya, insiden tersebut menyebabkan isterinya, Norzaimah Azizi, 29, dan anak lelakinya, Eshan Harris Alhafiedz tercampak ke lereng bukit.

“Polis yang tiba di lokasi kejadian mendapati mangsa dan anaknya meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala. Manakala suaminya  dilaporkan mengalami kecederaan parah.

“Kesemua mereka dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya.

Beliau berkata, sebelum kejadian, mangsa dipercayai dalam perjalanan ke Ampang dari Bukit Permai.

"Setakat ini, polis masih belum menerima laporan daripada mana-mana pihak.

"Siasatan juga masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kemalangan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata, pihaknya dari Balai Bomba dan Penyelamat Pandan Indah bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 9.52 pagi.

Sinar Harian 9 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment