March 26, 2016

Inspektor polis ke tali gantung

Ipoh: Inspektor polis dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Ipoh, hari ini, selepas didapati bersalah membenarkan pistolnya digunakan rakannya untuk melakukan rompakan sehingga mengakibatkan kematian seorang lelaki, tujuh tahun lalu.

Hakim Datuk Samsudin Hassan menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Taufik Peter Abdullah, 49, selepas tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah atas pertuduhan berkenaan.

Mohd Taufik dituduh mengetahui rakannya, S Nagendran, yang ketika ini sudah meninggal dunia, menggunakan senjata api dan melepaskan tembakan dengan niat menyebabkan kematian terhadap Chen Fun Kee, 49.

Kejadian itu berlaku ketika tertuduh dan Nagendran melakukan rompakan di Max Goldsmith & Jewellery di No 15, Jalan Sultan Iskandar di di sini antara 3.30 hingga 5.10 petang pada 16 September 2009.

Mohd Taufik didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 3A Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Jeffrey Ong manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Naran Singh, Muhammad Farhan Ahmad Fadzir dan Ashvinder Kaur.

myMetro 25 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment