March 11, 2016

Ibu tabah jaga anak OKU

BALING - Zarina Ramli, 46, tidak pernah merungut apabila perlu menjaga tiga anaknya yang kesemuanya merupakan golongan orang kurang upaya (OKU), sebaliknya beliau berasa bangga kerana dikurniakan anak-anak syurga itu.

Beliau juga tabah menjalani kehidupan seperti biasa dengan mencari rezeki menoreh getah bagi membantu suaminya Ahmad Saad, 64, yang menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi.

Ketiga-tiga anaknya, Norhidayah, 23, Abdul Aziz, 22, dan Mohd Riduan, 20, menghidap penyakit genetik sejak lahir menyebabkan mereka menghadapi masalah pembelajaran (lembam).

Zarina berkata walaupun bermasalah, ketiga-tiga anaknya itu mudah dijaga serta memahami dan mendengar arahan kerana mereka dihantar ke sebuah sekolah pendidikan khas di sini.

Lima beranak itu tinggal di sebuah rumah daif dan uzur yang rosak teruk di bahagian bumbung dan keadaan menjadi buruk setiap kali hari hujan.

"Kalau hari hujan, kami perlu meletakkan bekas untuk menadah air hujan yang masuk ke dalam rumah melalui bumbung yang berlubang," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Lanai Seberang dekat sini hari ini.

Sementara itu, pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Baling, Syamsul Izrin Isahak berkata buat masa ini, dua anak Zarina mendapat bantuan bulanan daripada JKM berjumlah RM200 manakala Mohd Riduan sebanyak RM150.

"Selepas ini, kita akan usahakan untuk membaiki bumbung rumah mereka yang daif," katanya selepas melawat Zarina sekeluarga di sini.

Mereka yang mahu menghulurkan sumbangan bolehlah berbuat demikian melalui akaun Bank Rakyat 220041211448 atas nama Ahmad Saad. - Bernama

Sinar Harian 10 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment