March 18, 2016

Hutang dipercayai punca bunuh

Mayat mangsa ditemui di tepi jalan raya dalam keadaan berlumuran darah. - Foto ASRIZAL ARIS

Kampar : Seorang lelaki ditemui mati dengan enam kesan tikaman di beberapa anggota badan dipercayai dibunuh di depan rumahnya di Jalan Hospital, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, Loo Chee Mun, 61, ditemui tertiarap oleh orang awam dengan keadaan berlumuran darah dan dia disangka terbabit dalam kemalangan jalan raya.

Ketua Polis Daerah Kampar Superintendan Ng Kong Soon berkata, mangsa dibunuh dengan enam tikaman objek tajam di perut, rusuk kiri, dada dan leher menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian.

"Berdasarkan siasatan awal, mangsa ditikam di kawasan tangga flet rumahnya selepas menjumpai selipar dan tompokan darah milik mangsa di kawasan itu. Dia cuba melarikan diri sebelum ditemui maut di tepi jalan raya.

"Mengikut keterangan keluarga mangsa, suspek berjaya melarikan diri dengan sebuah motosikal adalah lelaki yang dipercayai berhutang dengan mangsa. Motif pembunuhan dipercayai berkaitan hutang," katanya.

Menurutnya, usaha mengesan suspek masih dijalankan.

myMetro 16 Mac 2016


Warga emas maut ditikam

Anggota polis dari Unit Forensik memeriksa Chee Man yang ditemui maut dengan enam kesan tikaman di hadapan sebuah rumah pangsa di Jalan Hospital, Kampar semalam.

KAMPAR – Seorang lelaki warga emas ditemui maut dengan kesan enam tikaman pada perut, dada dan leher di hadapan sebuah rumah pangsa di Jalan Hospital di sini malam kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 6.30 petang itu, mangsa, Loo Chee Man, 61, disyaki ditikam menggunakan objek tajam seperti pisau oleh seorang lelaki.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, mayat mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap dengan berlumuran darah.

“Sebelum kejadian, mangsa dan suspek dipercayai bergelut dan bergaduh di tangga rumah pangsa berkenaan.

“Mangsa dipercayai ditikam ketika berada di tangga rumah pangsa berkenaan sebelum suspek yang menaiki motosikal melarikan diri,” katanya kepada pemberita di sini kelmarin.

Kosmo 18 Mac 2016


Suspek bunuh warga emas ditahan

Ipoh: Suspek lelaki, 43, ditahan jam 11.40 pagi tadi di Jalan Idris, Kampar, selepas dipercayai terbabit dalam kes bunuh seorang warga emas berusia 61 tahun.

Dalam kejadian jam 6 petang kelmarin, Loo Chee Mun ditemui mati dengan enam kesan tikaman di beberapa bahagian anggota badan di depan rumahnya di Jalan Hospital, Kampar.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, suspek ditahan di dalam sebuah kereta bersama majikannya namun siasatan mendapati majikannya tidak terbabit dalam kes berkenaan.

Menurutnya, polis sedang melakukan siasatan untuk mencari bahan bukti iaitu pisau yang dipercayai digunakan suspek dalam kes bunuh itu.

"Suspek akan direman esok bagi membolehkan siasatan lengkap dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya ditemui selepas Majlis Anugerah Anak-Anak Cemerlang Warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Perak 2015 di Dewan Serbaguna Pasukan Gerakan Udara di sini, hari ini.

myMetro 18 Mac 2016 

0 comments:

Post a Comment