April 19, 2016

Hasrat operator kilang berkahwin terkubur

Mayat mangsa di hantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tujuan bedah siasat. - Foto Sinar Harian

DUNGUN - Hasrat seorang lelaki, Abdullah Hassan, 32 untuk menamatkan zaman bujang dengan gadis pilihan tidak kesampaian apabila dia terbunuh dalam satu nahas jalan raya di Jalan Ketengah Jaya- Felda Kerteh 2 berhampitan kilang sawit, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.00 petang , Abdullah yang juga bekerja sebagai operator kilang  maut apabila motosikal yang ditunggangnya terbabas dan merempuh sebuah kereta Proton Wira  yang dalam perjalanan menuju ke Felda Kerteh 2.

Bapa saudaranya, Ismail Ariffin, 50 berkata, kali terakhir dia bertemu dengan mangsa ialah pada Rabu minggu lepas dan ketika itu anak saudaranya itu ada menyuarakan hasratnya untuk berkahwin dalam masa terdekat.

Menurutnya, dia memaklumkan ingin pulang ke kampung bertemu ibunya di Bandar Permaisuri , Besut untuk berbincang bagi menetapkan tarikh perkahwinannya.

"Dia ada datang bertemu saya dan memberitahu ingin pulang ke kampung bertemu ibunya yang di panggil "Mek".

"Katanya dia ingin berbincang tentang soal jodoh dan ingin menetapkan tarikh perkahwinan.

"Dia sudah bertunang agak lama iaitu lebih kurang setahun yang lalu dengan seorang gadis di tempat kerjanya di kilang kelapa sawit, Ketengah Jaya.

"Bagaimanapun, hasratnya untuk mendirikan rumah tangga tidak kesampaian apabila ajal terlebih dahulu menjemputnya

"Tiada sebarang perubahan ditunjukkan dan ketika kali terakhir bertemunya dia hanya bersikap seperti biasa," katanya.

Mayat mangsa yang beralamat di Kampung Bukit Kecil, Chalok, Bandar Permaisuri dihantar ke Unit Forensik untuk tujuan bedah siasat dan tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superitendan Ahmad Zailani Yaacob ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Sinar Harian 27 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment