March 2, 2016

Harap dapat bantu Cahaya Amanda

Iklan Afifudin di FB sebelum ini.

Kuala Lumpur: "Hasil jualan jam tangan kesayangan ini tidak seberapa nilainya tetapi saya harap ia dapat membantu meringankan beban ditanggung keluarga bayi itu,” kata Muhammad Afifudin Zakaria, 20, yang menjual jam tangan jenama G-Shock miliknya untuk membantu pesakit kulit rapuh, Epidermolysis Bullosa (EB),Cahaya Amanda Abdul Ghoni, 11 bulan,

Afifudin yang juga bekas pelajar tingkatan enam Sekolah Menengah Kebangsaan Tuanku Muhammad, Kuala Pilah, Negeri Sembilan berkata, dia mula menjual jam tangan itu di Facebook (FB) sejak seminggu lalu dengan tawaran harga RM950.

"Alhamdulillah, ia sudah dibeli oleh seorang lelaki dengan harga RM800 pada 27 Februari lalu dan pembayaran terus disalurkan kepada akaun Cahaya Amanda bagi membantunya.

"Bantuan itu juga adalah sebagai memberi semangat terutama kepada keluarga bayi berkenaan untuk tidak mudah putus asa.

"Bayi itu masih kecil dan dia (Cahaya Amanda) mempunyai jangka masa lebih lama untuk meneruskan kehidupan," katanya ketika dihubungi Harian Metro, di sini, hari ini.

Menurutnya, dia terdorong untuk berbuat demikian selepas membaca laporan mengenai nasib bayi itu di Facebook pada Januari lalu.

"Sedih dan tidak dapat bayangkan perasaan ketika itu. Ia sangat menyentuh perasaan saya apatah lagi ibu bapa bayi itu perlu menanggung kos rawatan rawatan yang mahal," katanya.

Katanya, dia dan dua rakannya, Nadia Natasya Rusman dan Mohd Raiff Maulud masing-masing berusia 20 tahun kini dalam perancangan untuk menyampaikan sumbangan berbentuk keperluan asas kepada keluarga bayi itu selewat-lewatnya Khamis ini.

"Sumbangan bantuan keperluan RM500 itu adalah hasil keuntungan saya dan dua rakan lain berniaga secara 'online' dengan menjual peralatan teknologi maklumat sejak dua bulan lalu.

"Kami kumpul keuntungan sedikit demi sedikit untuk membeli keperluan harian termasuk beras bagi meringankan beban ditanggung mereka. Jika kita rajin membantu insan yang kurang bernasib baik, insya-Allah, jika kita susah satu hari nanti, pasti ramai yang akan menghulur bantuan," katanya.

myMetro 1 Mac 2016





0 comments:

Post a Comment