March 12, 2016

Guru tampar murid, bapa datang lempang guru

Pelayan hotel tampar, ugut cikgu

MELAKA – Gara-gara melempang seorang muridnya yang dikatakan tidak mengikut arahan, seorang guru turut menerima nasib sama apabila dia kemudian ditampar pula oleh bapa kepada murid berkenaan.

Kejadian seorang guru Pendidikan Jasmani menampar murid lelaki tahun lima itu berlaku pada Rabu lalu ketika cikgu ter­babit melakukan ujian kecergasan ke atas pelajar-pelajar­nya.

Ekoran tindakan cikgu itu, pada pukul 7.45 pagi kelmarin, bapa kepada murid terbabit telah datang ke sekolah lalu menampar guru berusia 37 tahun berkenaan sambil disaksikan sebilangan pelajar dan guru-guru lain.

Kejadian guru menampar murid sebelum bapa murid berkenaan membalas dendam dengan menampar guru semula berlaku di sebuah sekolah rendah di Ayer Molek di sini.

Akibat ditampar, guru terbabit mengalami lebam pada pipi kanan selain dia turut diugut untuk dicederakan menggunakan cota di luar sekolah.

Kosmo 12 Mac 2016


Ibu tampil beri cerita sebenar

AYER MOLEK - "Cikgu sepak sampai saya jatuh atas tar. Dia titik bibir saya dengan rotan, sepak kaki saya,” kata murid darjah lima yang mendakwa dilempang seorang guru Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Molek dalam kejadian Rabu lalu.

Kejadian itu diketahui ibu bapa murid itu yang terkejut melihat pipinya merah serta bengkak pada mata sebaik sahaja pulang ke rumah di Taman Awam Ayer Molek, di sini.

Tindakan itu kemudian dibalas bapa murid lelaki tersebut yang datang ke sekolah dan melempang semula guru lelaki berusia 37 tahun, keesokan harinya.

Kanak-kanak berusia 11 tahun itu juga mendakwa, guru lelaki itu turut memukul rakan-rakan yang lain menggunakan rotan semasa sesi ujian segak dan kecergasan yang dilakukan di tepi padang sekolah berkenaan.

“Dia (cikgu) main rotan-rotan kat semua orang, jadi saya menjawab ‘apa main rotan orang, orang tak buat apa-apa pun. Tak payah la rotan’.

"Saya seorang jawab. Lepas tu dia sepak saya sampai jatuh,” katanya.

Sementara itu, ibu murid berkenaan, Siti Shazlyna Abdul Azeez, 37, berkata, pihak sekolah telah menghalangnya membuat laporan polis.

Malah, katanya, sekolah berkenaan turut mengatakan laporan dibuat guru lelaki itu akan ditarik.

“Saya ada bertemu semua pihak sekolah termasuk guru lelaki itu, selain polis dari Balai Polis Kandang pada sesi permuafakatan di sekolah, Jumaat lalu. Ketika itu, mereka kata laporan akan ditarik dan mereka minta saya tidak buat laporan polis,” katanya.

Siti Shazlyna juga meminta kementerian mengambil tindakan terhadap guru berkenaan yang juga didakwa pernah meminta duit daripada murid yang tidak menyiapkan tugasan atau mahu ke tandas.

“Saya baru tahu perkara ini. Cikgu itu minta RM2 atau RM1. Saya tak sangka ada cikgu begini. Saya tak boleh terima perkara ini dan tak puas hati apa yang cikgu dah buat.

“Saya minta Kementerian Pendidikan tolonglah ambil tindakan terhadap cikgu ini," katanya ketika ditemui pemberita di hadapan sekolah berkenaan, semalam.

Susulan kejadian itu, Siti Shazlyna membuat laporan di Balai Polis Banda Hilir, kira-kira 1 petang semalam.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan negeri, Abu Bakar Sahari berkata, pihaknya menyerahkan kepada polis untuk melakukan siasatan.

“Terpulang pada ibu murid tersebut untuk membuat laporan polis. Kita juga akan melakukan siasatan terhadap apa yang didakwa wanita dan anaknya itu,” katanya ringkas.

Sinar Harian 15 Mac 2016


Bapa didenda tampar guru

Melaka: Mahkamah Majistret di sini, menjatuhkan hukuman denda RM950 keatas seorang pekerja hotel atas pertuduhan menakutkan dan menampar seorang guru.

Penolong Pendaftar Analia Kamaruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Saufie Suboh, 38, sebaik tertuduh mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menakutkan dengan cara menggunakan senjata iaitu cota yang menimbulkan ketakutan kepada Mohd Najib Mashkor.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan sengaja menampar muka menggunakan tangan ke atas individu sama dan bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan tertuduh di kantin Sekolah Kebangsaan Air Molek, di sini, pada jam kira-kira 7.45 pagi, pada 10 Mac lalu.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh membayar denda RM450 bagi pertuduhan pertama dan RM500 bagi pertuduhan kedua.

myMetro 16 Mac 2016 

0 comments:

Post a Comment