March 11, 2016

Empat sampel dicemari kimia 'Carbamate'


Ipoh: Hasil laporan Jabatan Kimia mendapati bahan kimia jenis ‘Carbamate’ dikenal pasti terdapat dalam empat sampel makanan di sebuah gerai makanan di Siputeh, Batu Gajah, sehingga mengakibatkan 102 individu mengalami keracunan makanan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, daripada semua sampel peralatan dan makanan yang diambil dari kedai makanan berkenaan, empat sampel makan dikenal pasti mengandungi bahan kimia itu termasuk sambal nasi lemak, kuey tiaw goreng, kuih bom dan kuih cucur badak.

Katanya, hasil laporan kimia terhadap tong penyembur racun rumput dan rumput yang dipercayai digunakan seorang individu untuk meracun rumput, bagaimanapun tidak menemui bahan kimia berkenaan.

“Ini bermakna keracunan berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan aktiviti meracun rumput sebaliknya berpunca daripada bahan kimia yang ditemui dalam empat makanan berkenaan.

“Bagi mengetahui punca bahan kimia berkenaan terdapat dalam makanan, saya dimaklumkan pada 4 Mac lalu, kertas siasatan polis dibuka untuk mengenal pasti kejadian itu dan kedai berkenaan diarahkan tutup sehingga siasatan selesai dijalankan,” katanya pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini semalam.

Dr Mah berkata, sejak hari pertama kejadian itu berlaku Jumaat lalu, seramai 102 individu tampil mendapatkan rawatan di hospital selepas mengalami gejala yang sama termasuk badan berpeluh, muntah dan cirit-birit.

“Pada hari pertama kejadian itu, seramai 37 individu dimasukkan ke Hospital Batu Gajah (HBG) dan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) sebelum bilangan itu meningkat kepada 102 orang termasuk individu yang menerima rawatan susulan akibat keracunan itu,” katanya.

myMetro 10 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment