March 14, 2016

Empat pelajar parah dilanggar kereta

Bukit Mertajam: Empat pelajar lelaki parah selepas basikal ditunggang mereka dirempuh kereta di jejantas Jalan Permatang Rawa menghala Jalan Permatang Batu, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian 11 malam itu, mangsa, Muhammad Nasrul Hisham Muhammad Nazri,11, Mohd Alif Rosdi,11, Amirul Haiza Hakimi Abd Sani,14 dan Mohd Nur Amier Ishak,13 parah dirempuh kereta dipandu wanita berusia 26 tahun.

Difahamkan, mereka menunggang basikal berasingan di jalan berkenaan sebelum dirempuh kereta yang datang dari Jalan Sungai Rambai, Bukit Mertajam menghala Butterworth.

Sumber berkata, semua yang parah dibawa ke Hospital Bukit Mertajam bagi mendapatkan rawatan dan pemandu kereta berkenaan juga menyerah diri kepada polis.

Katanya, polis masih menyiasat kes berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

myMetro 13 Mac 2016


Mohd Nur Amier pergi jua

Ishak Abu Hashim, 48, (kiri berbaju merah) bapa Muhammad Nor Amier Ishak, 13 (gambar kiri) yang dilanggar kereta bersama tiga lagi rakannya malam kelmarin, sedih selepas anak ketiganya itu meninggal dunia di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang petang tadi. - Foto AMIR IRSYAD OMAR

Seberang Jaya: Seorang daripada empat mangsa yang cedera parah dilanggar kereta ketika bermain papan selaju di susur keluar Jejambat Jalan Permatang Batu, Bukit Mertajam, malam kelmarin, meninggal dunia petang tadi.

Mohd Nur Amier Ishak, 13, meninggal dunia jam 4.30 petang tadi di Hospital Seberang Jaya (HSJ).

Difahamkan, mangsa tidak sedarkan diri selepas dilanggar kereta pada malam kejadian.

Menurut bapanya, Ishak Abu Hashim, 48, jenazah anak ketiga daripada empat beradik itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Siakap di sini, malam ini.

"Saya terlalu sedih dengan kejadian ini namun reda dengan ketentuan Allah," katanya.

myMetro 14 Mac 2016


Anak enggan cerita kejadian ragut nyawa rakan

Seberang Jaya: Seorang daripada mangsa yang dilanggar kereta ketika bermain papan selaju di susur keluar Jejambat Jalan Permatang Batu, Sabtu lalu, Amirul Haiza Hakimi Abd Sani, 14, dilaporkan semakin stabil.

Ibunya, Mazura Anuar, 43, berkata, anaknya itu belum dibenarkan pulang kerana perlu menjalani pembedahan di kaki kanannya selain rawatan susulan di Hospital Seberang Jaya (HSJ).

Katanya, anaknya itu sudah boleh bercakap, namun enggan menceritakan kejadian yang berlaku pada malam Sabtu lalu.

“Dia kelihatan sangat trauma dengan kejadian ini apatah lagi selepas mengetahui rakannya, Mohd Nur Amier Ishak, 13, meninggal dunia,” katanya ketika menerima lawatan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan negeri, Dr Afif Bahardin di HSJ, semalam.

Mazura berkata, ketika malam kejadian, dia sudah melarang anaknya itu supaya tidak bermain di kawasan berkenaan, namun larangannya itu tidak diendahkan.

“Memang dia ada memberitahu mahu bermain di kawasan itu, tapi saya memarahinya dan tak sangka, dia tetap pergi juga bermain di situ,” katanya yang berniaga di pasar malam di Perda.

Dalam kejadian jam 11.20 malam Sabtu lalu, empat pelajar dilanggar kereta ketika bermain papan selaju dan seorang daripadanya iaitu Mohd Nur Amier meninggal dunia jam 4.30 petang Isnin lalu.

Seorang lagi mangsa iaitu Muhammad Nasrul Hisham Muhammad Nazri, 11, masih dirawat di Hospital Bukit Mertajam, manakala Mohd Alif Rosdi, 11, sudah dibenarkan pulang.

myMetro 17 Mac 2016




0 comments:

Post a Comment