March 18, 2016

El Nino punca banyak ular masuk rumah

Anggota JPAM menunjukkan ular tedung yang ditangkap di Kampung Berangan Parit Panjang, Baling, minggu ini. - Foto Fail

Alor Setar: Panggilan kecemasan kemasukan ular di premis kediaman meningkat dua kali ganda sepanjang tempoh fenomena El Nino di sekitar daerah Kubang Pasu.

Pegawai Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Daerah Kubang Pasu Kamalruzamal Kasa berkata dari Disember hingga Mac, JPAM menerima 87 panggilan kecemasan membabitkan kes kemasukan ular di kediaman penduduk daerah Kubang Pasu.

"Disember lalu, kita menerima 25 panggilan manakala bagi Januari (33 panggilan), Februari (23 panggilan) dan 1 hingga 16 Mac, enam panggilan. Angka itu meningkat dua kali ganda berbanding tempoh sama tahun lalu.

"Keadaan panas akibat fenomena El Nino ini antara faktor jumlah ular yang masuk di kediaman penduduk meningkat kerana mencari kawasan sejuk selain mencari tempat berlindung akibat habitat mereka di hutan terbakar," katanya hari ini.

Antara jenis ular yang banyak ditangkap ialah ular tedung senduk, ular susuk kerbau dan ular sawa dan menurut Kamalruzamal, bagi mengelak ular masuk ke dalam rumah, belerang boleh ditabur di sekitar kawasan rumah selain menutup semua lubang seperti lubang paip air menggunakan kain atau batu. BERNAMA

myMetro 16 Mac 2016



0 comments:

Post a Comment