March 11, 2016

Dua maut kemalangan ketika buat pusingan U

KOTA BHARU - Dua maut dalam kemalangan berasingan di Chicha Kubang Kerian dan‎ Tanjung Mas di Pengkalan Chepa petang semalam dan pagi tadi.

Dalam kejadian pertama kira-kira jam 2.20 petang semalam, mangsa‎ Afiq Izuddin Hassan, 17, tercampak di atas jalan raya, selepas gagal mengawal motosikal yang ditunggangnya dan turut melanggar bahagian depan kereta dari arah sama ketika membuat pusingan U dari Pasir Tumboh ke Kubang Kerian.

Mangsa tercampak di jalan bertentangan namun hanya disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM)Kubang Kerian, kira-kira jam 7.30 malam semalam.

Sementara itu, dalam kes pagi tadi, seorang bapa tidak dapat melihat kelahiran bayi pertamanya selepas maut dalam kemalangan di Tanjung Mas di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi, mangsa Muhamad Hafizul Abdullah, 24 maut selepas kereta yang dipandu mangsa terbabas sendiri ketika melakukan pusingan U.

Mangsa gagal mengawal kenderaan ketika melakukan pusingan U terbabit dan menyebabkan kenderaannya melambung dan terbalik beberapa kali di jalan bertentangan.‎

‎Akibat nahas itu mangsa mengalami kecederaan parah dan maut di tempat kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Baharom Abu berkata kedua-dua kes disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sinar Harian 10 Mac 2016


0 comments:

Post a Comment