March 9, 2016

Dua maut dalam substesen TNB

ANGGOTA bomba mengeluarkan mayat lelaki yang terperangkap. FOTO ihsan bomba

Chukai: Dua lelaki berusia lingkungan 30-an ditemui mati dalam substesen bekalan elektrik milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di kilang Perwaja Steel di Telok Kalong, 10.25 malam tadi.

Operasi mengeluarkan dua mayat terbabit dilakukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Chukai yang bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan daripada pihak polis mengenai mangsa terperangkap dalam substesen terbabit.

Komander Operasi Bomba Zon 2, Penguasa Kanan Bomba II Azmi Abd Rahim berkata, 19 anggota terbabit dalam operasi itu dan pihaknya mengambil masa lebih dua jam bagi mengeluarkan mayat berkenaan.

Menurutnya, mayat pertama dikeluarkan 12.45 tengah malam manakala mayat kedua dikeluarkan pada 1.45 pagi tadi sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

"Kedua-dua mangsadipercayai menceroboh masuk ke kawasan berkenaan dan polis sedang melakukan siasatan lanjut mengenainya," katanya.

myMetro 7 Mac 2016


'Saya ingat dia pergi kerja'

ANGGOTA bomba mengeluarkan mayat yang terperangkap dalam substesen TNB di Telok Kalong.

Chukai: “Saya sangka dia (Rosli) tidak balik rumah sebab pergi kerja. Saya terkejut apabila mendapat tahu dia ditemui mati dalam substesen TNB (Tenaga Nasional Berhad) berkenaan,” kata Sapiah Abdul Rahman, 45, kakak kepada Rosli, 42, dari Kampung Ibok, di sini, seorang daripada dua mangsa yang ditemui mati, malam kelmarin.

Rosli bersama seorang lagi lelaki dipercayai rakannya, Anuar Husain, 46, ditemui mati dalam substesen milik TNB di kawasan kilang Perwaja Steel, Telok Kalong, di sini.

Sapiah berkata, dia menerima berita sedih mengenai kematian adiknya itu selepas dihubungi isteri arwah pada kira-kira jam 8 pagi semalam.

Katanya, adik iparnya ada memaklumkan kepadanya mengenai adiknya yang tidak pulang ke rumah sejak empat hari lalu.

“Oleh kerana arwah bekerja sendiri, dia menyangkakan arwah tidak pulang kerana keluar bekerja di tempat jauh dan meminta wanita itu bersabar.

“Namun saya tidak sangka adik ditemui dalam keadaan terbujur kaku dan menyedihkan dalam kawasan substesen itu,” katanya.

Menurut Sapiah, kali terakhir dia berjumpa dengan adiknya itu kira-kira dua minggu lalu ketika arwah bertandang ke rumahnya di kampung sama.

Katanya, dia kesal dengan sikap segelintir masyarakat yang memberi komen negatif di laman sosial terhadap penemuan adiknya itu dan menganggap tindakan itu adalah tidak bertanggungjawab.

Mayat Rosli ditemui bersama rakannya Anuar dari Kampung Payoh, Kemasik dalam keadaan mengerikan apabila kedua-dua mayat berkenaan hampir reput.

myMetro 8 Mac 2016


Mayat reput dalam kilang besi

Mohd Said (kiri) bersama pegawainya memeriksa kedua-dua mayat yang diusung ke atas kenderaan polis untuk dihantar ke Hospital Kemaman bagi proses bedah siasat.

KEMAMAN – Bau busuk dihidu polis bantuan di sebuah sub stesen penjana elektrik ketika membuat rondaan dalam kawasan sebuah kilang besi yang sudah tidak beroperasi di Teluk Kalong, di sini, membawa kepada penemuan dua mayat lelaki dalam keadaan reput dan berulat, semalam.

Dua mayat berkenaan ditemui pada kira-kira jam 8.15 malam dalam longkang kabel bervoltan tinggi atau cable trench pada kedalaman kira-kira satu meter dan dipercayai telah meninggal dunia dalam tempoh lebih tiga hari tetapi tidak lebih seminggu.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, jarak antara kedua-dua mayat adalah empat meter namun siasatan awal mendapati kedua-duanya tidak terkena renjatan elektrik.

Menurutnya, seramai 19 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Chukai membantu usaha mengeluarkan mayat berikutan keadaan pintu sub stesen tersebut tertutup rapat dan terpaksa dibuka menggunakan oksigen.

"Sebaik sahaja menerima panggilan daripada polis bantuan, sepasukan 15 pegawai dan anggota polis, diketuai oleh saya sendiri bergegas ke lokasi penemuan mayat. Ketika tiba di lokasi, kami dapati pintu sub stesen terkunci rapat.

"Mayat pertama berjaya dikeluarkan pada jam 12.25 tengah malam, manakala mayat kedua pada jam 1.42 pagi," katanya.

Mangsa dari Kemaman

Mohd Said memaklumkan, berdasarkan dokumen pengenalan diri ditemui, kedua-dua mangsa dipercayai berasal dari Kemaman yang mana mangsa pertama dikeluarkan berusia 42 tahun dan beralamat di Kampung Pondok Limau, Ibok, manakala mangsa kedua berumur 46 tahun dan beralamat di Kampung Payoh.

"Bagaimanapun disebabkan keadaan mayat sudah reput dan sukar dikenal pasti, pengesahan identiti kedua-dua mangsa akan dibuat selepas pihak polis menerima laporan bedah siasat daripada Hospital Kemaman.

"Kita turut menemui peralatan suntikan pada badan salah seorang mangsa dan dipercayai mangsa berkenaan merupakan penagih dadah," katanya.

Mungkin cuba curi kabel

Mohd Said turut tidak menolak kemungkinan kedua-dua mangsa ditemui cuba mencuri kabel elektrik kerana mereka didapati menceroboh masuk ke dalam sub stesen dengan memanjat bangunan tersebut.

Katanya, kedua-duanya dipercayai meninggal dunia kerana sesak nafas berikutan kekurangan udara dalam sub stesen serta siasatan mendapat tiada sebarang kecederaan pada badan kedua-dua mayat dan kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

"Setakat pagi ini (semalam), kami tidak menerima laporan berhubung kehilangan orang dan polis juga ada menerima laporan mengenai kecurian kabel di kawasan kilang tersebut sebelum ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Penguasa Kanan Bomba II (PgKB II) Azmi Ab Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes tersebut pada jam 10.24 malam dan tiba di lokasi pada jam 10.32 malam.

"Kami menghadapi sedikit kesukaran ketika usaha mengeluarkan kedua-dua mayat dijalankan kerana perlu memastikan tempat tersebut benar-benar selamat untuk dimasuki, selain keadaan ruang dalam cable trench sempit," katanya.

Sinar Harian 8 Mac 2016





0 comments:

Post a Comment