March 6, 2016

Doakan Azraf Arjuna

Azraf Arjuna menderita kanser hati tahap tiga. FOTO ihsan Nadzirah

Kuala Lumpur: "Luluh hati saya melihat keadaannya begitu. Sejak anak tunggal saya menjalani pembedahan membuang hati kirinya dan saluran hempedu, Rabu lalu, dia nak panggil 'dada' (ayah) dan 'mama'(ibu) pun tak berupaya lagi selain kerap menangis,” kata Nadzirah Nadzri, 28, ibu kepada Azraf Arjuna Naufal Azharulaffandi berusia setahun yang disahkan menghidap kanser hati tahap tiga sejak dua minggu lalu.

Nadzirah yang juga suri rumah berkata, dia hanya menyedari anaknya itu menghidap kanser hati selepas menyentuh perut Azraf Arjuna yang ada bonjolan keras seperti batu dan bergerak.

"Saya yang tidak sedap hati kemudiannya membawa anak saya ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang bersama suami, ibu dan bapa mentua untuk memeriksa keadaan anak saya sebelum pihak HTAR mengarahkan membawanya ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

"Pada awalnya HKL memaklumkan darah anak saya mempunyai masalah dan selepas pemeriksaan terperinci doktor kemudiannya mengesahkan anak saya menghidap kanser hati tahap tiga dan perlu menjalani pembedahan membuang hati kiri serta saluran hempedu dengan segera," katanya ketika dihubungi Harian Metro, petang tadi.

Menurutnya, dia tidak dapat mengawal perasaan dan emosi selepas mendengar pengesahan daripada pihak hospital berhubung penyakit yang dihidap anaknya itu.

"Saya panik dan dunia macam gelap seketika. Saya rasa nak pengsan kerana tidak dapat terima hakikat anak tunggal saya yang sebelum ini ceria seperti kanak-kanak lain menderita penyakit kanser.

"Doktor juga ada memaklumkan anak saya pucat dan itu adalah antara tanda penghidap kanser hati. Saya dan suami, Azharulaffandi Abd Manaf, 33, menyangka pucat itu adalah kerana kulitnya yang memang putih," katanya.

Katanya, dia dan suami kesal kerana terlambat menyedari penyakit dihidap anaknya itu namun tidak akan berputus asa, sebaliknya berikhtiar dan mendapatkan rawatan yang sebaiknya.

"Alhamdulillah, anak kami berjaya menjalani pembedahan pertama iaitu membuang hati kirinya serta saluran hempedu," katanya.

Tambahnya, anaknya itu kini perlu menjalani rawatan susulan dua minggu sekali termasuk menjalani kimoterapi yang memerlukan kos RM6,000 setiap rawatan kerana doktor juga masih belum mengesahkan keadaan anaknya benar-benar pulih.

"Kalau dulu, anak saya seorang yang suka senyum, lasak, aktif bermain serta memanggil ayah dan ibu dengan panggilan 'dada' dan 'mama', tetapi kini tidak lagi.

"Selepas menjalani pembedahan itu, dia kini mudah penat, badan semakin kurus dan kerap menangis terutama pada waktu malam. Saya tidak putus berdoa supaya anak segera sembuh," katanya.

Katanya, dia juga terpaksa berhenti kerja di sebuah syarikat swasta manakala suaminya yang bekerja sebagai juruteknik disebuah syarikat swasta pula mengambil cuti tanpa gaji sejak sebulan lalu untuk menjaga anaknya.

"Anak kami memerlukan pemantauan sepenuhnya sebab itu kami mengambil keputusan untuk berbuat demikian. Saya harap ada pihak sudi membantu terutama untuk membiayai kos rawatan anak saya pada setiap bulan," katanya.

Kepada sesiapa yang mahu membantu, boleh hubungi Nadzirah ditalian 017-8825395.

myMetro 4 Mac 2016



0 comments:

Post a Comment