March 26, 2016

Dipinjam sekejap


Shah Alam: “Allah SWT pinjamkan sekejap untuk saya beri kasih sayang dan saya reda Tuhan ambil dia dengan cara begitu,” kata Norsiah Mohamad, 67, ibu kepada Aminulrasyid Amzah, remaja yang maut akibat terkena tembakan polis, enam tahun lalu.

Norsiah berkata, walaupun anak bongsu daripada lapan beradik itu dipinjamkan 14 tahun, pelbagai kenangan bersama arwah masih terpahat dalam ingatannya.

Katanya, Aminulrasyid yang lebih mesra dipanggil Amin sangat meminati pelbagai jenis sukan terutama bola sepak, bola tampar, ragbi dan kriket, malah kerap terpilih mewakili sekolah ke pertandingan sukan.

“Selain itu, dia juga aktif menyertai maraton, pertandingan nasyid serta aktiviti sekolah lain.

“Namun, kini semuanya tinggal kenangan, begitu juga cita-citanya yang mahu menjadi angkasawan seperti Angkasawan Negara Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Seksyen 11, di sini, semalam.

Kelmarin, Mahkamah Tinggi Sivil, di sini, memutuskan keluarga Aminulrasyid berjaya dalam tuntutan saman mereka ke atas Koperal Jenain Subi dan empat lain seterusnya memperoleh ganti rugi RM414,800.

Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim membuat keputusan itu selepas membenarkan saman difailkan pada 17 April 2013 oleh kakak mangsa, Nor Azura Amzah, 45, sebagai plaintif pertama manakala Norsiah selaku plaintif kedua.

Dalam kejadian di Seksyen 11, di sini, pada 26 April 2010, Aminulrasyid meninggal dunia selepas terkena tembakan dilepaskan anggota polis peronda apabila remaja itu dikatakan cuba melarikan diri.

Pasukan peronda berkenaan sebelum itu mengarahkan remaja terbabit menghentikan keretanya untuk pemeriksaan, tetapi pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 9, Shah Alam itu memecut sebelum kenderaannya disekat di Jalan 11/2G, Seksyen 11.

Norsiah berkata, mereka sekeluarga bersyukur dengan keputusan itu selepas enam tahun menunggu.

Menurutnya, dia kini boleh tidur lena dan berharap suara sumbang yang memfitnah mereka berhenti daripada berbuat demikian.

“Apa yang kami lakukan ini bukan kerana wang ringgit, tetapi adalah maruah kami,” katanya.

myMetro 26 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment