March 2, 2016

Dinding runtuh dibadai ombak

KAMARUDDIN bersama keluarganya melihat sebahagian dinding rumah mereka yang runtuh dibadai ombak.

Kuala Nerus: Harapan sebuah keluarga untuk tinggal di rumah baru dilupakan apabila sebahagian dinding yang dalam pembinaan di Kampung Tanjung Gelam, di sini, roboh dibadai ombak seminggu lalu.

Pemilik rumah, Kamaruddin Awang, 52, berkata, ketika kejadian dia bersama isteri, Rohana Mohd Nor, 45, dan enam anak berusia antara enam hingga 26 tahun berada dalam kediaman peninggalan arwah bapanya sejak Mei lalu.

Menurutnya, dia membina sendiri rumah berkenaan dengan bantuan adik sejak Ogos lalu dan membelanjakan lebih RM10,000 bagi membeli pasir, batu, bata, dan kayu serta peralatan membuat rumah.

“Rumah arwah bapa sempit dan saya ubah suai sedikit bagi memberi keselesaan kepada keluarga, tetapi kini kami lupakan kerana sebahagian dinding roboh selain tidak selamat diduduki berikutan tapaknya terhakis,” katanya, semalam.

Kamaruddin mendakwa tidak mampu berpindah ke kawasan lain walaupun sedar kawasan pantai berkenaan semakin terancam setiap kali ombak besar.

“Kalau ada tempat tinggal lain sudah lama kami pindah, tetapi kami tiada tanah lain untuk bina rumah dan menyewa kami tidak mampu,” katanya yang hanya bekerja kampung.

Menurutnya, ketika membina rumah Ogos lalu, jarak rumahnya dengan pantai lebih 100 meter, tetapi kini hanya lima meter.

Katanya, dia sangat berharap projek pemecah ombak yang giat dilaksanakan kerajaan di kampung berkenaan turut dilakukan di kawasan pantai rumahnya dan beberapa kediaman lain di kawasan itu.

“Kawasan rumah dan lokasi projek pemecah ombak juga tidak jauh dan dianggarkan 150 meter. Kalau ada pemecah ombak, kami tidak takut sekurang-kurang ada halangan mengurangkan kelajuan badai,” katanya.

myMetro 1 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment