March 11, 2016

Didakwa tipu suri rumah RM1 juta

Seremban: Wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini kerana menipu suri rumah dalam pelaburan Forex membabitkan kerugian RM1 juta pada 2011.

Tertuduh, Norhuda Mahat, 55, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mardhihah Harullah selepas pendakwaan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa menipu Norlatifah Harun, 50, sebanyak RM500,000 dengan memasukkan wang tunai dalam akaun miliknya di RHB Seremban, di sini pada 10 Januari 2011.

Wang itu dimasukkan dalam akaun bagi pelaburan Islamic Forex Trading yang tidak wujud.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menipu Norlatifah sebanyak RM350,000 melalui cara di lokasi dan tujuan yang sama pada 7 Januari 2011.

Sementara itu pertuduhan ketiga menyaksikan tertuduh menipu suri rumah itu sebanyak RM150,000 dengan cara di lokasi dan tujuan juga sama pada 7 Januari 2011.

Oleh itu dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan sebat dan denda.

Mardhihah menetapkan sebutan semula kes pada 11 April depan dan menawarkan jaminan RM100,000 bagi tiga pertuduhan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Aishah Ab Rashid manakala tertuduh diwakili peguambela Nor Azri Mohd Arif.

myMetro 10 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment