March 22, 2016

Dapur restoran juara AF 2015 hangus

Sufi (kiri) bersama dua rakan kongsinya.

Kuala Lumpur : Dapur restoran milik juara Akademi Fantasia (AF) 2015 Sufi Rashid, 25, di Jalan Kuchai Lama, di sini, musnah dalam kebakaran, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, bahagian dapur restoran dinamakan De’ Tulang Merah itu musnah sama sekali menyebabkan penyanyi itu kerugian kira-kira RM25,000.

Sufi mengusahakan restoran itu bersama rakan kongsinya iaitu penyanyi Edaman Qanda dan penerbit Suria FM Haffiz Aziz sejak tiga minggu lalu.

Sufi berkata, ketika kejadian dia berada di rumahnya sebelum dihubungi pengurusan bangunan memaklumkan kejadian itu.

"Apabila tiba di tempat kejadian, pihak bomba baru selesai memadamkan kebakaran. Bahagian dapur dan semua kelengkapan masak musnah sama sekali. Tidak ada satu pun peralatan yang boleh digunakan semula,” katanya yang turut membuat laporan polis sejurus selepas itu.

Sufi berkata, dia tidak tahu sama ada ia disebabkan perbuatan khianat atau lain kerana pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat masih menjalankan siasatan mengenai punca kejadian.

“Pelik juga bagaimana boleh terbakar kerana pada malam sebelum itu kami sudah memadamkan semua peralatan elektrik,” katanya.

myMetro 21 Mac 2016


0 comments:

Post a Comment