March 4, 2016

Cebisan mayat bertaburan

HAMZAH Buyok.HAMZAH Buyok.
HAMZAH Buyok.


Kuala Lumpur: Mayat bergelimpangan menyambut kedatangan pasukan penyelamat. Situasi ngeri itu masih bermain di fikiran anggota bomba yang terbabit operasi menyelamat insiden letupan paling dahsyat membabitkan kilang mercun, Bright Sparklers di Sungai Buloh, Selangor pada 7 Mei 1991.

Tragedi malang yang digelar ‘Hiroshima Sungai Buloh’ itu menjadi kenangan paling dahsyat bagi Pegawai Bomba Kanan Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam Hamzah Buyok, 58, ketika terbabit operasi berkenaan 25 tahun lalu.

Mengimbau kembali detik hitam itu, Hamzah yang menjawat Ahli Bomba Kanan berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam jam 11 pagi berkaitan kebakaran kilang.

“Ketika itu Balai Bomba dan Penyelamat yang paling hampir ialah Shah Alam, Selangor, menyebabkan kami dikerahkan dengan kekuatan 20 anggota dan dua jentera.

“Kira-kira 10 kilometer dari lokasi kejadian, saya nampak kepulan asap besar dan terdetik dalam hati mungkin ada perkara dahsyat bakal kami tempuhi,” katanya, di sini.

Bapa empat anak berusia 18 hingga 30 tahun itu berkata, perkara pertama disaksikan ialah mayat lelaki melintangi jalan dipercayai dilanggar kenderaan ketika menyelamatkan diri.

“Saya antara anggota penyelamat paling awal tiba di lokasi kejadian, namun kerana ada mayat di tengah jalan, jentera bomba menukar laluan alternatif ke kilang itu.

“Kira-kira satu kilometer daripada lokasi kejadian, situasi ibarat medan perang apabila letupan mercun, serpihan kayu, besi dan atap rumah bertaburan di sana sini.

“Malah, kilang dan rumah berhampiran lokasi kejadian juga musnah termasuk cebisan mayat hangus,” katanya.

Menurutnya, insiden terbabit menyebabkan 26 maut manakala 83 mangsa cedera. Letupan kuat juga menyebabkan kereta yang dipercayai milik tauke kilang remuk seperti botol air dipicit.

“Jeritan minta tolong dan raungan kesakitan akibat terkena serpihan mercun jelas kedengaran. Lebih menyayat hati apabila mangsa meratapi kematian ahli keluarga,” katanya.

Katanya lagi, anggota bomba meneruskan gerakan mencari dan menyelamat walaupun bimbang letupan berulang.

Selepas kebakaran dikawal, usaha mencari dan menyelamat mangsa tidak terhenti begitu saja, malah berlangsung beberapa hari.

“Kami juga menyejukkan simpanan belerang seberat 180 tan yang ditanam di dalam kilang itu. Tugasan 24 jam sehari dan berterusan selama beberapa hari kerana bimbang bahan itu meletup semula.

“Jika simpanan belerang ditakdirkan meletup, pasti Sungai Buloh musnah menjadi padang jarak padang tekukur. Tetapi hasil usaha dengan melupakan penat lelah, belerang itu dapat disejukkan sebelum dihantar pulang ke negara asal (China),” katanya.

Walaupun kejadian itu sudah lama berlalu, namun tetap menjadi sejarah yang tidak dilupakan Hamzah yang bakal bersara pada 2018 selepas lebih 35 tahun berkhidmat sebagai anggota bomba dan penyelamat.

myMetro 3 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment