March 11, 2016

Cantik berdengung

Petaling Jaya: Kepala jadi botak dan rambut gugur mendadak. Itu antara kesan bahaya dialami beberapa wanita selepas menggunakan produk kosmetik dikesan dicampurkan kimia berbahaya.

Mangsa turut mendakwa mengalami rasa berdengung pada telinga selepas tiga bulan menggunakan kosmetik yang didakwa boleh mencerahkan kulit wajah.

Jurucakap Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata, aduan beberapa mangsa wanita terbabit dipandang serius sebelum pihak Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK), KKM melakukan ujian kimia pada kosmetik digunakan mereka.

Menurutnya, hasil ujikaji mendapati kosmetik itu tercemar dengan kimia merkuri paras tinggi yang tidak dibenarkan di dalam produk kosmetik.

“Difahamkan mangsa kini sudah pulih selepas berhenti menggunakan produk itu.

“Produk kosmetik yang dicampur merkuri lazimnya dipasarkan untuk mencerahkan kulit dan rawatan anti penuaan seperti masalah jeragat, kulit tidak sekata dan kedutan,” katanya.

Menurutnya, selain menyebabkan keguguran rambut, kosmetik yang dicampur merkuri turut menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.

“Malah, ia juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan.

“Selain itu, kesan mudarat akibat pendedahan kepada merkuri turut dialami individu sekeliling apabila produk kosmetik mengandungi merkuri yang disapu pada kulit meruap dan dihidu. Kesannya boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit,” katanya.

Susulan itu pihak BPKF Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan operasi Ops Pemutihan bagi membenteras pelbagai produk kosmetik beracun mengandungi kimia berbahaya ini.

Seramai 50 pegawai BPKF melakukan pemeriksaan mengejut terhadap puluhan premis yang dikesan melakukan penjualan dan memiliki produk kosmetik tidak berdaftar dengan BPKF sejak awal Februari lalu.

Difahamkan serbuan hasil tindakan awal pegawai BPF yang melakukan uji beli sebelum menghantar produk itu ke makmal kimia.

Hasil serbuan dilakukan itu, pelbagai produk kosmetik tradisional dan racun tidak berdaftar, dicampur racun serta mengandungi kimia berjadual dirampas.

Operasi membabitkan lokasi sekitar Puchong, Shah Alam dan Taman Seri Muda membabitkan 235 jenis produk kosmetik bernilai lebih RM30,000.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, tindakan menjual dan memiliki produk itu melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama.

myMetro 10 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment