March 13, 2016

Budak tujuh tahun ditemui lemas di Pantai Bagan Pinang

Mangsa tidak memberi sebarang respons walaupun telah diberi bantuan kecemasan.

Anggota JPAM memberi bantuan kecemasan kepada mangsa.

PORT DICKSON - Seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun ditemui lemas di Pantai Bagan Pinang, pagi semalam.

Pemangku Ketua Polis daerah, Asisten Superintendan Zainudin Ahmad berkata, ketika kejadian sekitar jam 9.30 pagi, mangsa, Nurulain Neri datang ke Pantai Bagan Pinang bersama adiknya dengan ditemani pengasuhnya.

Menurutnya, pengasuh itu hanya menyedari kehilangan kanak-kanak tersebut ketika sedang berbual di telefon.

“Pengasuh itu kemudiannya mencari mangsa di kawasan pantai, namun gagal lalu hubungi saudara mara serta jiran kanak-kanak tersebut untuk memaklumkan kehilangannya.

“Satu laporan polis juga telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson memaklumkan kejadian itu,” katanya.

Zainudin berkata, lebih kurang jam 10.30 pagi, jiran yang juga rakan kepada pengasuh itu telah menemui kanak-kanak terbabit terapung di pantai dalam keadaan separuh sedar.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di Hospital Port Dickson, pegawai perubatan mengesahkan kanak-kanak tersebut sudah meninggal dunia.

“Bedah siasat telah dilakukan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Sementara itu, rakan pengasuh, Mohamad Sadin, 31, berkata, dia datang ke pantai tersebut selepas dimaklumkan anak asuhan rakannya hilang di pantai.

“Ketika di pantai, kami hanya menemui selipar serta pakaian termasuk ada kesan tapak kaki kanak-kanak itu di pasir menuju ke pantai.

“Hampir 20 minit juga kami mencarinya dan akhirnya saya nampak ada kanak-kanak terapung di pantai. Saya terus masuk ke laut dan menyelamatkan dia, kedalaman paras air ketika tu sehingga paras dada saya,” katanya.

Tambahnya, sebaik berjaya membawa kanak-kanak itu ke darat, bantuan kecemasan diberikan.

“Mulutnya keluar buih air tapi keadaannya sangat lemah, sehinggalah JPAM (Jabatan Pertahanan Awam Malaysia) tiba memberi bantuan kecemasan dan membawanya ke hospital,” katanya.

Sinar Harian 11 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment