March 26, 2016

Budak 3 tahun lemas dalam kereta

Penduduk serta pelancong asing cuba memberi pertolongan kepada mangsa dalam berada dalam kebiruan. FOTO IHSAN PEMBACA

Langkawi: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut akibat lemas selepas terperangkap hampir sejam dalam sebuah kereta di Kampung Kelibang, di sini, petang ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang, mangsa Muhammad Asyraaf Abdullah ditemui dalam keadaan kebiruan oleh penduduk yang kebetulan melalui kawasan itu.

Beberapa penduduk termasuk pelancong asing cuba memberikan bantuan pernafasan kepada mangsa namun gagal sebelum dikejarkan ke Hospital Langkawi oleh ambulan, bagaimanapun disahkan telah meninggal dunia.

Difahamkan, mangsa keluar dari rumah tanpa disedari bapanya sebelum memasuki kereta Nissan Sunny berkenaan namun gagal keluar semula.

Ketika kejadian, ibu mangsa tiada di rumah kerana keluar bekerja.

Kereta itu dipercayai milik bapa mangsa tetapi sudah lama tidak digunakan kerana rosak.

Ketua Polis Daerah Langkawi Superintendan Dr Che Ghazali Che Awang ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian, berkata, kes masih dalam siasatan.

myMetro 24 Mac 2016


'Sayang ibu' ungkapan terakhir anak kepada ibu

LANGKAWI - 'Sayang ibu' menjadi ungkapan terakhir yang masih diingati Zainun Mohamad, 38, yang diucapkan anaknya, Muhammad Asyraaf Abdullah yang meninggal dunia setelah terperangkap di dalam sebuah kereta rosak milik bapanya di sini semalam.

Zainun, 38, berkata Muhammad Asyraaf, 4, meluahkan perkataan itu malam sebelum arwah hendak tidur dan tidak menyangka ia akan menjadi petanda, anak angkatnya itu akan meninggalkannya buat selama-lamanya.

"Beberapa hari ini pun Asyraaf nampak lebih manja dan minta disuapkan kalau nak makan," katanya dalam keadaan sebak ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Kelibang di sini.

Menurutnya dia berada di tempat kerja di sebuah kompleks membeli-belah di sini apabila beliau menerima panggilan telefon dari suaminya, Ariffin Zainuddin, 43, pada 4 petang semalam mengatakan anaknya tidak sedarkan diri selepas terperangkap di dalam kereta yang terletak bersebelahan rumah mereka.

"Asyraaf dibawa ke hospital dan apabila saya tiba di sana, saya diberitahu anak saya sudah tiada lagi," katanya.

Zainun berkata Muhammad Asyraaf biasanya ditinggalkan bersama pengasuh sekiranya beliau bekerja namun setelah Ariffin tidak bekerja sejak beberapa bulan lepas, arwah tinggal bersama-sama suaminya.

"Arwah ni memang jenis anak yang aktif dan sebelum ini pun saya memang nampak dia selalu bermain dalam kereta yang rosak tu tapi tak ada apa-apa yang berlaku," katanya.

Meminati karektor animasi ultraman, Muhammad Asyraaf katanya suka dibawa ayahnya bersiar-siar dan pernah berkata: "Kita jalan dan sembang jauh-jauh".

Jenazah kanak-kanak itu dikebumikan di sini malam tadi.

Adun Kuah, Nor Saidi Nanyan turut menziarahi keluarga Zainun dan menyerahkan sumbangan kepadanya.- Bernama

25 Mac 2016





0 comments:

Post a Comment