April 19, 2016

Bayi mati lemas dalam baldi

Bapa mangsa, Mohd Helmi Harun, 31, menunjukkan gambar Adam Hakimi ketika ditemui di rumahnya, semalam.

KUALA KANGSAR - “Moga kami bertemu Adam di syurga nanti,” itulah luahan seorang ibu yang reda dengan pemergian anak bongsunya, Adam Hakimi Mohd Helmi berusia 15 bulan.

Adam Hakimi pada Jumaat lalu ditemui lemas di dalam sebuah baldi di rumahnya di Taman Jasa, di sini kira-kira jam 11 malam.

Suzilawa Azlina Nazori, 35, yang ditemui mengakui dia reda dengan pemergian anaknya itu dan menganggap apa yang terjadi merupakan takdir ALLAH.

Menurutnya, anak bongsunya itu memang sangat manja dengannya dan tidak mahu berenggang apabila dia berada di rumah.

“Dia tidak macam abang dan kakaknya, memang dia manja. Mungkin dia tahu hidupnya di dunia tidak lama, jadi dia manja-manja dengan ibunya selalu.

“Saya reda dengan pemergiannya. Ini mungkin peringatan buat kami supaya tingkatkan ibadat dan bertemu Adam di syurga nanti,” katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.

Katanya, dia turut kesal kerana terdapat banyak versi berhubung kes anaknya dan ada yang mengatakan arwah lemas dalam kolah mandi dan besen.

“Semua itu tidak benar. Adam lemas dalam baldi dan bukan kolah atau besen. Walaupun sedih namun kami menerima ini sebagai takdir dari ALLAH. Cuma kakak Adam yang berusia tiga tahun kerap bertanya di mana adiknya itu.

Dalam pada itu, Adun Manong, Mohamad Kamil Shafie merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan menyampaikan sumbangan kepada keluarga Allahyarham ketika melawat keluarga berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Ahmad Termizi Abd Haq mengesahkan menerima laporan kejadian ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, dalam kejadian pada Jumaat malam itu, Adam Hakimi ditemui ibunya dalam keadaan tertonggeng dengan kepala berada dalam baldi dan kaki ke atas.

"Siasatan awal mendapati mangsa dengan sendirinya pergi ke bilik air apabila semua orang di dalam rumah itu sedang tidur.

"Ibu mangsa tidur awal pada malam itu sementara dua anaknya yang lain sedang menonton televisyen bersama ibu saudara mereka.

Katanya, apabila tersedar dari tidur, ibu mangsa mendapati anak bongsunya tidak berada di sebelahnya.

"Ibu mangsa kemudiannya mencari anaknya dan mendapati dua anaknya tertidur di depan televisyen di ruang tamu manakala anak bongsunya tidak berada di situ.

“Ibu mangsa kemudiannya terus masuk ke bilik air dan mendapati anaknya berada dalam baldi,” katanya.

Ahmad Termizi berkata, ibu mangsa segera mengeluarkan mangsa dan memberi bantuan pernafasan sebelum menghubungi hospital dan disahkan meninggal dunia.

Sinar Harian 28 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment