March 2, 2016

Badan hancur

Anggota polis mengutip cebisan daging badan mangsa yang hancur digilis kenderaan. FOTO Mohammad Ishak

Jertih: Wanita berusia 37 tahun maut dalam keadaan badannya hancur digilis sebuah kenderaan dalam kejadian langgar lari di Kampung Anak Ikan, Jabi, di sini, 5.50 pagi tadi.

Kejadian itu dikatakan berlaku ketika Siti Fatimah Jusoh berjalan di hadapan sebuah stesen minyak yang belum beroperasi di kampung terbabit.

Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Khalid Che Lah mengesahkan kejadian itu dan berkata wanita terbabit dipercayai tinggal berhampiran tempat kejadian.

Menurutnya, kawasan berkenaan gelap dan berkemungkinan pemandu kenderaan yang melanggarnya tidak menyedari mangsa berjalan di situ.

Katanya, pihaknya masih belum dapat mengenal pasti sama ada mangsa dilanggar kenderaan jenis apa kerana belum menerima sebarang laporan polis mengenainya.

myMetro 1 Mac 2016


Wanita kurang siuman hancur dilanggar kenderaan

BESUT - Mayat seorang wanita yang dipercayai kurang siuman ditemui dalam keadaan hancur dipercayai dilanggar kenderaan di Kilometer 89, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu dekat Kampung Anak Ikan, Jerteh pagi tadi.

Mangsa dikenali sebagai Siti Aminah Jusoh, 37, dari Kampung Anak Ikan dekat sini.

Ketua Polis Daerah Besut, Supritenden Khaled Che Lah berkata, mayat mangsa ditemui orang awam yang lalu-lalang di kawasan kejadian sebelum melaporkan kepada pihak polis kira-kira 5.50 pagi.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dilanggar ketika sedang berada di tengah jalan yang gelap.

"Pihak polis sedang mengenal pasti kenderaan yang melanggar mangsa. Kita percaya ia melibatkan lebih dari sebuah kenderaan memandangkan mayat mangsa yang hancur", katanya kepada pemberita.

Khaled berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang laporan mengenai kes itu.

Beliau meminta pihak yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu untuk menghubungi Inspektor Nur Farah Diana Md Deri di Cawangan Trafik menerusi talian 09-6972700. - Bernama

1 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment