March 2, 2016

‘Ayu pulanglah, abah rindu’


KULIM - “Ayu pulanglah, abah rindu Ayu. Kalau abah dengan emak ada buat Ayu terasa, kami minta maaf." Rintih bapa kepada Siti Nurhidayu, 18, yang menghilangkan diri selepas keluar dari rumah sejak 21 Februari lalu.

Che Othman Abd Rahman, 53, berkata, dia dan isterinya, Azizah Wan, 48, merayu agar anak bongsu daripada empat beradik itu pulang ke pangkuan keluarga selepas sembilan hari menghilangkan diri.

Menurutnya, sejak anaknya hilang, dia dan isterinya tidak dapat tidur lena serta tiada selera makan.

“Kalau tengok pintu bilik Ayu pun air mata mula menitis, terfikir keselamatan dia. Puas kami cari di sungai, ladang kelapa sawit, pergi ke pusat beli belah walaupun sebelum ini saya tak pernah pergi.

"Pulanglah atau telefon abah beritahu ada di mana, abah pergi ambil,” katanya sebak.

Othman pula berkata, sebelum anaknya hilang, dia sempat bergurau dan makan malam bersama.

“Malam itu Ayu sempat melayan saya makan dan bergurau, dia tak pula beritahu nak pergi ke mana-mana atau tunjuk perubahan. Saya dan isteri pula tak ada marah atau buat dia terasa hati.

“Apa yang Ayu nak kami sudah belikan, ada juga saya sorokkan telefon bimbitnya selama seminggu tapi melihat keadaan Ayu yang tak lalu makan dan asyik termenung, kami beli telefon baru untuknya,” katanya.

Sementara itu, isterinya, Azizah Wan, 48, berkata, Ayu dipercayai keluar dari rumah pada 21 Februari lalu kira-kira jam 4 pagi sehelai sepinggang tanpa membawa kad pengenalan dan wang. Menurutnya, dia hanya menyedari anaknya tiada di rumah jam 5 pagi ketika sedang bersiap-siap solat subuh dan menyediakan makanan untuk diletakkan di kedai makan.

“Saya tergerak hati nak pergi lihat Ayu dalam bilik dan terkejut selepas lihat dia tiada,” katanya.

Menurutnya, kebetulan pula pada hari kejadian, suaminya juga tidak menyapa anaknya sebelum pergi kerja.

“Selalunya kalau bangun pagi, abahnya mesti akan pergi jenguk Ayu di bilik, tapi hari itu entah macam mana tak tergerak pula hati nak pergi lihat,” katanya.

Azizah berkata, kejadian itu adalah kali ketiga anaknya menghilangkan diri dan ini yang paling lama.

“Sebelum ini, sudah dua kali Ayu keluar tanpa beritahu kami, tapi bila kami hubungi dia beritahu ada di rumah rakan dan emak angkat.

“Jadi kami akan pergi jemput Ayu pulang. Tapi kali ini langsung tak beritahu, telefon pun tak berjawab. Puas sudah semua rakan-rakan dia saya dan suami hubungi tapi semua tak tahu Ayu di mana,” katanya.

Tambahnya, dia dan suami tidak pernah menghalang anaknya itu bergaul dengan sesiapa.

“Saya tak tahu apa yang tidak kena, kami tak mengongkong Ayu.

Kalau dia beritahu nak keluar dengan kawan kami izinkan dan pesan jangan balik lewat, kalau lambat saya akan telefon tanya takut sesuatu berlaku,” katanya yang sudah membuat laporan polis mengenai anaknya itu.

Katanya, sudah banyak wang dihabiskan bagi mencari anaknya itu termasuk mengadakan solat hajat dan berjumpa dengan bomoh.

“Sudah sembilan bomoh kami jumpa untuk cari Ayu, solat hajat juga siang malam kami buat,” katanya.

Orang ramai yang mengenali  Siti Nurhidayu boleh hubungi talian 0134786321 atau balai polis terdekat.

Sinar Harian 1 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment