March 9, 2016

Arwah meracau mengenai kerja

ABDUL Halim.

Serdang: “Tak sangka, perubahan sikapnya yang mula meracau bercakap seorang diri mengenai kerja petanda dia akan meninggalkan kami,” kata Azizah Maarof, 38, adik bongsu kepada kakitangan Jabatan Sumber Manusia The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Abd Halim Abdul Hamid, 53, yang meninggal dunia, semalam.

Menurut Azizah, abangnya meninggal dunia di kediamannya di Jalan 18/58, Taman Sri Kembangan, di sini, jam 12.30 tengah malam.

Katanya, Halim sebelum ini pernah ditahan di hospital selama dua minggu pada Februari lalu selepas disahkan mempunyai darah tinggi dan terdapat jangkitan kuman pada paru-paru.

“Selepas menerima rawatan abang semakin pulih dan dibenarkan keluar dari wad.

“Bagaimanapun, sejak Khamis lalu dia mula meracau bercakap seorang diri mengenai kerjanya walaupun diberikan cuti sakit selama seminggu.

“Sehingga malam tadi (kelmarin) abang meracau masuk bilik air, selepas keluar dia mengalami sesak nafas sebelum meninggal dunia di rumah di samping isteri (Sa’adiah Ahmad Saie, 58) bersama dua anak perempuannya berusia 20 tahun dan 22 tahun,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurut Azizah, arwah abangnya disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Universiti Putra Malaysia (UPM) jam 9 pagi semalam.

myMetro 7 Mac 2016


0 comments:

Post a Comment