March 26, 2016

'Apa punya suamilah...'

Kuala Lumpur: Berang isteri berbual dengan jiran, seorang lelaki mengamuk sebelum mengacukan pisau di leher dan memukul isterinya itu sehingga cedera di kepala dan muka dalam kejadian di Metro Prima, Kepong, 9 pagi kelmarin.

Menurut jiran mangsa, wanita berusia 43 tahun itu sering dipukul jika berbual dengan jiran.

"Mangsa yang juga suri rumah dikurung dan tidak dibenarkan keluar rumah. Jika dia (mangsa) ingkar (keluar rumah dan berbual dengan jiran), dia akan dibelasah suaminya," katanya.

Katanya, wanita terbabit membuat laporan polis selepas diugut dengan pisau dan dipukul pada hari kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R Munusamy yang mengesahkan kejadian berkata, suami wanita itu yang berusia 47 tahun ditahan pada malam hari kejadian dan direman selama tiga hari untuk siasatan.

"Hasil pemeriksaan menjumpai pisau pemotong sayur yang digunakan untuk mengugut mangsa.

"Motif pergaduhan berkenaan berpunca daripada salah faham dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 kerana mendatangkan kecederaan," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perbarisan Bersempena Hari Polis ke 209 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, petang tadi.

Terdahulu, lebih 500 pegawai dan anggota polis IPD Sentul menyertai perbarisan berkenaan.

Munusamy turut memakaikan pangkat Sarjan dan Koperal kepada 35 anggota polis yang berkhidmat dengan cemerlang.

myMetro 25 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment