March 13, 2016

'Aku dah nak balik', perbualan terakhir mangsa kemalangan maut


Kereta Proton Exora dinaiki Mohd. Zaki bersama keluarganya terbabas dan dan remuk teruk gara-gara bertembung dengan kereta dari arah bertentangan di Kilometer 106 Jalan Kuantan-Segamat di sini, malam tadi.

FAKTA KEMALANGAN:

LOKASI: di Kilometer 106 Jalan Kuantan-Segamat dekat Muadzam Shah, di sini, malam tadi, pukul 8.50 malam membabitkan dua kenderaan. 

MANGSA-MANGSA YANG MAUT:

1. Mohd Zaki Mamat, 47, dan isterinya, 
2. Jamilah Hussen, 46, serta dua anak lelaki mereka 
3. Muhammad Zamil Izuddin, 17, dan 
4. Muhammad Zamil Syazwan, 14

ROMPIN - 'Aku nak balik ni.. dalam perjalanan. Kalau tak ada apa-apa, pukul 2 aku sampai,'.

Itu perbualan terakhir pemandu lori Mohd. Zaki Mamat, 47, dengan kakaknya, Hamidah sebelum beliau dan tiga anggota keluarganya maut dalam kemalangan di Kilometer 106 Jalan Kuantan-Segamat di sini, malam tadi.

Hamidah, 52, berkata, Mohd. Zaki menghubunginya sekitar pukul 7 malam menyebabkan beliau segera menyiapkan tempat tidur untuk arwah dan keluarga di rumah emak mereka, Hasmah Hussein, 74, yang terletak bersebelahan rumahnya di Kampung Demit, Kubang Kerian, Kelantan.

"Bagaimanapun, sekitar pukul 9 malam, adik saya Mohd. Fadli, 36, yang merupakan anggota bomba di Melaka telefon memberitahu Mohd. Zaki terlibat dalam kemalangan.

"Kami bergegas ke sini pada pukul 10 malam selepas diberitahu dua daripada mereka meninggal dunia.

"Di pertengahan jalan baharu terima berita yang empat (orang) meninggal.

Kami patah semula ke Kubang Kerian untuk mengambil anggota keluarga yang lain sebelum bertolak pada pukul 1 pagi," katanya kepada pemberita ketika ditemui di bilik mayat Hospital Muadzam Shah di sini, hari ini.

Hamidah berkata, menjadi rutin adiknya membawa keluarga pulang ke Kelantan setiap kali cuti sekolah bagi melawat ibu yang uzur selain memenuhi undangan kenduri sepanjang cuti.

Pada kejadian pukul 8.50 malam semalam, Mohd. Zaki, isterinya Jamilah Hussen,46, dan dua anak mereka Muhammad Zamil Izzuddin, 19, serta Muhammad Zamil Syazwan, 14, maut selepas kereta Proton Exora dinaiki mereka terbabas dan bertembung dengan kereta dari arah bertentangan.

Kemalangan berpunca akibat tayar hadapan kiri kenderaan itu meletup dan kesemua mereka yang dalam perjalanan dari Merlimau, Melaka maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Dua lagi anak Mohd. Zaki, Siti Nurjeha, 18, dan Siti Nur Nabilah, 10, cedera parah manakala pemandu kereta Honda Civic, Zulkifli Abdullah, 47, yang terbabit dalam kemalangan itu turut cedera. - Bernama

Kosmo 12 Mac 2016



Ajal empat beranak

Keadaan MPV dinaiki enam beranak yang menyaksikan empat daripadanya terkorban. FOTO ihsan bomba

Rompin: Empat beranak maut, tiga lagi parah dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 106 Jalan Kuantan-Segamat dekat Muadzam Shah, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian 8.50 malam itu, Pemandu MPV, Mohd Zaki Mamat, 47, isterinya, Jamilah Hussen, 46, serta dua anak mereka Muhammad Zamil Izuddin, 17, dan Muhammad Zamil Syazwan, 14, meninggal dunia di tempat kejadian.

Dua lagi anak Mohd Zaki, Siti Nurjeha, 18, Siti Nur Nabilah, 10 dan pemandu kereta, Zulkifli Abdullah, 47, parah.

Ketua Polis Daerah Deputi Superintendan Muhammad Aidil Roneh Abdullah berkata, enam beranak yang menaiki MPV jenis Proton Exora itu dalam perjalanan dari rumah mereka di Merlimau, Melaka ke Kelantan.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, tayar kiri bahagian hadapan Proton Exora pecah menyebabkannya hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta Honda Civic yang dipandu Zulkifli.

"Pertembungan itu menyebabkan empat mangsa di dalam Proton Exora meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua lagi penumpang serta Zulkifli parah," katanya.

Katanya, mangsa yang parah dibawa ke Hospital Muadzam Shah untuk menerima rawatan.

Siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

myMetro 12 Mac 2016


Jenazah empat sekeluarga dikebumi satu liang lahad

FOTO Muhammad Hatim Ab Manan - myMetro

MELAKA - Jenazah empat sekeluarga yang maut dalam kemalangan di Kilometer 106 Jalan Kuantan-Segamat malam tadi selamat dikembumikan dalam satu liang lahad di Tanah Wakaf Perkuburan Islam As-Syakirin Bachang di sini, lewat petang ini.

Jenazah Mohd Zaki Mamat, 47, dan isterinya, Jamilah Hussen, 46, serta dua anak lelaki mereka Muhammad Zamil Izuddin, 17, dan Muhammad Zamil Syazwan, 14, selamat dikebumikan pukul 6.25 petang dengan kehadiran lebih 300 saudara serta kenalan.

Terdahulu, jenazah empat sekeluarga itu tiba di Melaka kira-kira 4.40 petang dari Hospital Muadzam Shah, Pahang, sebelum disembahyangkan di Masjid As-Syakirin Bachang di sini selepas solat Asar.

Dalam kejadian pukul 8.50 malam tadi, empat sekeluarga itu maut di tempat kejadian, manakala dua anak perempuan mereka Siti Nurjeha, 18, serta Siti Nur Nabilah, 10, cedera parah.
Mereka dalam perjalanan pulang ke Kelantan.

Sementara itu ibu Jamilah, Zabedah Dalip, 76, berkata beliau bersedia menjaga dua cucu perempuannya itu kerana beliau amat rapat dengan mereka.

Zabedah berkata beliau dimaklumkan kejadian menimpa Jamilah, anak kelima daripada enam beradik itu, menerusi panggilan telefon Siti Nurjeha kira-kira 9 malam tadi.

"Dia (Siti Nurjeha) telefon kata kereta mereka kemalangan...tidak nampak emak dan ayah sebab keadaan keliling gelap dan dia merasa takut dan meminta makcik untuk datang ke sana," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tanah perkuburan.

Beliau berkata dia kemudian menerima panggilan kedua kira-kira 10.30 malam yang memaklumkan anak perempuannya dan suami serta dua anak lelaki mereka maut dalam kemalangan tersebut.

Katanya, sebelum keluarga itu bertolak ke Kelantan, mereka datang ke rumahnya di Batu 3, Kampung Bachang, Pasir Puteh di sini pukul 8.30 pagi semalam dan meninggalkan dua anak lelakinya di rumah tersebut untuk melakukan pemeriksaan kereta di pusat servis berhampiran, sebelum pulang selepas solat Jumaat.

Sementara itu, rakan sekerja Jamilah, Haryani Samsi, 33, berkata dia mengenali mangsa sejak 11 tahun lepas ketika mula bekerja di sebuah kilang di Merlimau dan menyifatkan mangsa seorang yang baik hati dan peramah.

"Selalunya dia akan memberitahu saya bila hendak pulang ke Kelantan dan meminta mendoakan keselamatan mereka sekeluarga.

"Namun kali ini saya tidak tahu dia pulang ke sana sebaliknya mengetahui kemalangan menimpa mereka sekeluarga daripada Facebook awal subuh tadi," katanya.

Beliau berkata arwah ada merancang untuk membuat majlis bacaan Yasin pada bulan April depan tetapi nampaknya majlis tersebut akan dilakukan untuknya. -Bernama

12 Mac 2016






0 comments:

Post a Comment