March 20, 2016

Ajal daki Gunung Berembun

MANGSA disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung. FOTO ihsan bomba

Cameron Highlands: Seorang lelaki maut akibat sakit jantung ketika mendaki Gunung Berembun, di sini petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang semalam, mangsa, Shaiful Anuar Ahmad Rafie, 41, yang berasal dari Hutang Melintang, Perak dekat sini dikatakan mendaki gunung terbabit bersama lima wanita termasuk anak perempuannya.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintendan Zainal Abidin Othman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian melalui isteri mangsa yang menghubungi pihak polis.

"Mangsa dikatakan mendaki gunung berkenaan melalui Sungai Pauh (Kem Slim) Tanah Rata, di sini, bersama lima wanita berusia 23-34 tahun termasuk anak perempuannya yang berusia 12 tahun.

"Kumpulan terbabit sampai ke puncak gunung pada jam 2.20 petang dan pada jam 3.05 petang mangsa tiba-tiba dipercayai mengalami sesak nafas dan terus tidak sedarkan diri.

"Anak perempuan mangsa menghubungi ibunya iaitu isteri mangsa yang pada ketika itu berada di kaki gunung dan isteri mangsa menghubungi '999' untuk dapatkan bantuan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba turut menerima maklumat mengenai kejadian pada jam 3.16 petang dan menubuhkan pasukan mencari dan menyelamat sebelum melancarkan operasi menyelamat pada jam 3.58 petang.

"Mangsa berjaya ditemui dan disahkan sudah meninggal dunia, kemudian dibawa turun pada jam 8 malam sebelum diserahkan kepada pihak polis dan dihantar ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom, di sini.

"Hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat serangan jantung," katanya.

myMetro 20 Mac 2016



0 comments:

Post a Comment