April 19, 2016

Adik temui ajal, abang selamat


Mohd Izzarul Azreeq yang tenggelam dalam kolam berjaya ditemui dan dibawa ke Hospital Raub, namun disahkan meninggal dunia akibat lemas.

RAUB - Hasrat dua beradik untuk memancing berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka ditemui lemas di sebuah kolam ikan di tepi jalan Kampung Sempam Baru, di sini  petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, Mohd Izzarul Azreeq S Ramli, 8, disahkan meninggal dunia di Hospital Raub manakala abangnya, Mohd Izarul Haqeemi S Ramli, 11, berjaya diselamatkan.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Wan Zahari Wan Busu berkata, dua beradik itu dikatakan ke kolam tersebut untuk memancing, bagaimanapun mereka dipercayai turun ke dalam air untuk mencari udang kecil sebagai umpan.

Menurutnya, ketika sedang mencari umpan, mereka dipercayai terjerlus ke dalam selut dan tenggelam.

“Kejadian itu sempat disaksikan orang ramai yang kebetulan melalui kawasan berkenaan selepas selesai solat Jumaat.

“Mohd Izarul Haqeemi berjaya diselamatkan, namun adiknya yang tenggelam ditemui selepas usaha mencari dan menyelamat digerakkan,” katanya kepada pemberita ketika dihubungi semalam.

Wan Zahari berkata, Mohd Izzarul Azreeq tidak sedarkan diri dan dibawa ke Hospital Raub untuk menerima rawatan sebelum disahkan meninggal dunia.

“Hasil bedah siasat dijalankan ke atas mangsa mengesahkan kematiannya adalah akibat lemas,” katanya.

Beliau berkata, jenazah mangsa dituntut oleh ibunya dan selamat dikebumikan di tanah perkuburan Batu 4 Kampung Sempam, malam kelmarin.

Sinar Harian 27 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment