March 20, 2016

162 penghuni rumah perlindungan kanak-kanak terabai


Penghuni yang bersekolah didakwa hanya dibekalkan sepasang uniform sekolah untuk dipakai.

Seorang bayi tidur dengan botol susu masih di mulutnya.

KUANTAN - Seramai 162 penghuni sebuah rumah perlindungan kanak-kanak di sini didakwa terabai dan tidak mendapat layanan sewajarnya.

Menurut sumber, perkara itu didedahkan kerana tidak sanggup melihat kehidupan terpaksa diharungi kesemua kanak-kanak berusia di bawah 18 tahun terbabit.

Katanya, mereka bukan sahaja tidak mendapat hak sepatutnya, malah ada yang dikurung.

Dakwanya, jumlah pekerja yang tidak mencukupi iaitu satu pengasuh menjaga 10 kanak-kanak juga mungkin antara punca berlaku pengabaian di pusat berkenaan.

“Mereka tidak pernah menerima kasih sayang yang sepatutnya diterima oleh seorang kanak-kanak,” katanya kepada pemberita di sini.

Lebih menyedihkan, sumber itu mendakwa, kanak-kanak terlalu aktif ditempatkan dalam katil bayi yang ditelangkupkan bagi menghalang mereka keluar.

Katanya, kanak-kanak berusia empat tahun yang menghidap cerebral palsy itu tidak sewajarnya diperlakukan seperti itu.

“Ada seramai 162 kanak-kanak dan 30 daripadanya berusia di bawah setahun,” katanya.

Menurutnya, seramai sembilan pengasuh ditugaskan di ruang bayi dan mereka bekerja dalam tiga syif.

Dakwanya, kakitangan pusat perlindungan terbabit menyuruh kanak-kanak di situ melakukan tugas yang tidak sesuai dengan usia mereka.

Kemudahan tidak lengkap

Sumber itu mendakwa, kemudahan disediakan di pusat jagaan berkenaan juga tidak lengkap hingga ada kanak-kanak dibiarkan makan bubur menggunakan tangan.

Menurutnya, dewan makan ditutup selama beberapa bulan dan bengkel jahitan dijadikan tempat makan sementara.

Katanya, ia dilihat tidak sistematik kerana penghuni hanya boleh duduk di ruang tertentu.

Dia juga mendakwa, penghuni yang bersekolah hanya dibekalkan sepasang uniform sekolah dan mereka perlu membasuhnya setiap hari untuk dipakai ke sekolah.

Katanya, tindakan itu salah dan tidak mengikut tujuh Objektif Dasar Perlindungan Kanak-kanak Negara yang memerlukan keprihatinan dan membolehkan kanak-kanak itu gembira di pusat berkenaan.

Menurut sumber itu lagi, kanak-kanak terbabit hanya akan kelihatan bersih dan rapi jika pusat perlindungan itu menerima kunjungan orang kenamaan.

“Kanak-kanak ini berhak hidup dalam dunia mereka sesuai dengan usia mereka yang sepatutnya dibenarkan bermain di luar bersama permainan dan rakan-rakan lain,” katanya.

Menurutnya, dia mahu keadaan itu diubah dan pihak berkaitan memastikan keselesaan kesemua penghuni terbabit terjaga.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Multimedia dan Komunikasi negeri, Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata, pihaknya akan meminta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyiasat dakwaan itu.

Katanya, beliau melawat rumah perlindungan itu dua bulan lalu dan berpuas hati dengan keadaan di situ.

“Berdasarkan pemantauan saya, semuanya baik, tetapi saya tetap akan minta siasat perkara ini,” katanya.

Sinar Harian 18 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment