March 18, 2016

14 kenderaan dirempuh lori

KEADAAN di lokasi kejadian. FOTO Fardy Bungga

Kuala Lumpur: Lori membawa muatan pasir merempuh 14 kenderaan dalam kejadian di Jalan Tuanku Abdul Halim menghala ke arah pusat bandar berhampiran pintu 3 Istana Negara, kira-kira jam 5 petang tadi.

Lori yang dipandu seorang lelaki berusia 20-an itu dikatakan hilang kawalan selepas mengalami masalah brek.

Seorang mangsa Elaine Ng, 38, berkata, dia yang memandu dari Damansara menuju ke Setapak bernasib kerana tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, dia masih dalam keadaan trauma selepas dirempuh lebih lima kali sehingga menyebabkan kenderaannya remuk di semua bahagian.

Sementara itu, tiga individu dilaporkan mengalami kecederaan luka-luka kecil dan kejadian turut menyebabkan kesesakan jalan hampir dua kilometer.

myMetro 17 Mac 2016


Lori naik minyak


Kuala Lumpur: Masalah brek didakwa menjadi punca sebuah lori pasir merempuh 14 kenderaan termasuk empat kereta mewah di Jalan Tengku Abdul Halim berhampiran pintu tiga Istana Negara di sini.

Dalam kejadian jam 5 petang semalam, pemandu lori berusia 32 itu gagal mengelak sebelum melanggar deretan kereta di hadapan membabitkan model Lexus, Toyota Camry, Audi A8, Perodua Myvi dan Proton Saga.

Kemalangan itu menyebabkan semua kenderaan yang dirempuh lori seberat 10 tan itu ‘melekat’ antara satu sama lain.

Kemalangan turut menyebabkan tiga mangsa mengalami luka kecil akibat terkena serpihan cermin selain terhantuk pada stereng kenderaan.

Salah seorang mangsa ditemui Eleine Ng, 38, berkata, kemalangan berlaku ketika dia melalui laluan berkenaan yang sesak berikutan ramai pengguna baru pulang dari bekerja.

Dia yang memandu kereta model Lexus bagaimanapun terkejut apabila kenderaannya dirempuh mendadak.

“Kereta saya dilanggar lebih lima kali oleh lori itu dan beberapa kereta lain. Kemalangan itu berlaku amat pantas dan saya gagal berbuat apa-apa.

“Saya masih lagi trauma. Bagaimanapun saya bersyukur kerana terselamat dalam nahas ini,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Azri Anuar, 33, berkata, kemalangan itu menyebabkan dia sekeluarga terperangkap di dalam kereta berikutan semua pintu kenderaannya tidak dapat dibuka akibat remuk.

“Mujurlah orang ramai datang membantu mengeluarkan kami.

“Kejadian menyebabkan isteri, adik perempuan dan ibu saya cedera di bahagian dada, paha dan lengan akibat hentakan kuat ketika dilanggar lori itu.

“Difahamkan pemandu lori itu adalah warga tempatan dan dia mendakwa masalah brek menjadi punca lori itu gagal berhenti ketika melalui jalan berkenaan,” katanya.

myMetro 18 Mac 2016






0 comments:

Post a Comment