February 29, 2016

Zuriat dicampak dari tingkat 18

Anggota polis memeriksa mayat bayi yang dicampak ibunya dari tingkat 18. FOTO Nabihah Kamal

Kuala Lumpur: Bayi perempuan yang baru beberapa jam dilahirkan maut dicampak ibunya yang berusia 39 tahun dari tingkat 18 Flat Danau Kota, Setapak, dekat sini, pagi tadi.

Mayat bayi itu ditemui pada 8.30 pagi tadi oleh seorang seorang lelaki yang segera menghubungi pihak polis.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Mohd Roy Suhaimi Sarif berkata, bayi perempuan itu ditemui bersama uri dan parah di kepala.

"Hasil siasatan awal mendapati, bayi itu adalah anak kedua suspek dan dicampak dari balkoni rumahnya di tingkat 18.

"Suspek yang juga ejen hartanah ditahan di rumahnya yang dihuni bersama anak perempuannya berusia 5 tahun," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju, petang tadi.

Menurutnya, suspek kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur dan kes disiasat mengikut Seksyen 309B Kanun Keseksaan kerana membunuh anak selepas kelahiran.

myMetro 29 Februari 2016


Tergamak campak bayi hidup-hidup

KUALA LUMPUR – Seorang ejen hartanah tergamak mencampakkan bayi yang baru dilahirkannya dari tingkat 18 Flat Danau Kota di Setapak di sini semalam.

Kejadian itu disedari penduduk kira-kira pukul 8.30 pagi selepas menemui mayat bayi perempuan itu dalam keadaan berlumuran darah dengan kecederaan parah di kepala di kawasan lapang berhampiran flat tersebut. Turut dijumpai ialah uri bayi yang cukup sifat itu.

Menurut seorang penduduk yang ingin dikenali sebagai Yaakob, keadaan mayat bayi itu sungguh menyayat hati apabila kepalanya terbelah dua.

“Semua orang terkejut melihat bayi itu. Malah, kami tidak tahu ibunya tinggal di sini sehinggalah pihak polis melakukan tangkapan,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sharif berkata, hasil siasatan polis mendapati bayi itu dicampak dari tingkat atas sebelum pihaknya melakukan pemeriksaan dari rumah ke rumah.

Katanya, hasil pemeriksaan polis berjaya mengesan sebuah rumah di tingkat 18 yang dipercayai didiami suspek berusia 39 tahun.

“Kita menemui kesan darah dari bahagian tandas hingga ke balkoni yang dipercayai tempat suspek mencampakkan bayinya itu.

“Hasil siasatan lanjut mendapati suspek bertindak mencampakkan anak keduanya itu sebaik dilahirkan kira-kira pukul 3 pagi,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju di sini semalam.

Menurutnya lagi, suspek menyewa sebuah bilik di dalam rumah tersebut sejak November tahun lepas bersama anak sulungnya yang berusia lima tahun.

Turut mendiami rumah tersebut ialah sepasang suami isteri.

Jelas Mohamad Roy, suspek yang berasal dari Negeri Sembilan itu dikatakan dalam proses perceraian dengan suaminya serta dipercayai mengalami masalah kemurungan.

Kosmo 1 Mac 2016


Dakwa anak dah meninggal sebelum dicampak

Kuala Lumpur: Wanita yang mencampak bayi perempuannya dari tingkat 18 Flat Danau Kota, di sini, semalam, mendakwa anaknya itu sudah meninggal dunia selepas dilahirkan.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Mohd Roy Suhaimi Sarif berkata, wanita yang berusia 39 tahun itu direman selama enam hari bermula hari ini.

"Wanita berkenaan kini masih dirawat di Hospital Kuala Lumpur manakala anak perempuannya berusia 5 tahun ditempatkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Wanita direman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 309B kerana membunuh anak selepas kelahiran," katanya ketika dihubungi.

Semalam, bayi perempuan yang baru beberapa jam dilahirkan maut dicampak ibunya dari balkoni rumah yang disewa.

Mayat bayi itu ditemui bersama uri pada 8.30 pagi sebelum penduduk flat berkenaan segera menghubungi pihak polis.

myMetro1 Mac 2016


Panik bayi mati

LAPORAN Harian Metro, semalam

Kuala Lumpur: Wanita yang mencampakkan bayinya baru dilahirkan melalui ruang menjemur kain di bahagian dapur rumah di tingkat 18, Pangsapuri Danau Kota, di sini, kelmarin, didakwa melakukan tindakan itu kerana panik serta menyangka bayi itu sudah mati.

Difahamkan suspek wanita berusia 39 tahun ditahan reman enam hari bermula semalam.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Mohd Roy Suhaimi Sarif berkata, suspek wanita itu ditahan reman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 309B Kanun Keseksaan kerana membunuh anaknya.

“Suspek masih menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan berada dalam keadaan stabil.

“Begitupun, pihak kami masih gagal mengesan suami suspek yang juga seorang ejen hartanah. Siasatan mendapati suspek dalam proses perceraian dengan suaminya. Dia dipercayai tidak berjumpa dengan suaminya sejak beberapa bulan lalu,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan seorang wanita disyaki mencampakkan bayi baru dilahirkannya di dalam tandas di kediamannya.

Kejadian disedari penduduk pada jam 8.30 pagi apabila melihat mayat bayi perempuan baru dilahirkan terbaring di kawasan lapang di pangsapuri.

Menurut pasangan suami isteri yang tinggal serumah dengan suspek, mereka dikejutkan dengan jeritan suspek yang berada di dalam bilik air pada jam 3 pagi kelmarin.

Bagaimanapun, pasangan itu tidak menyedari suspek membuang bayi ke tingkat bawah pangsapuri.

Suspek dikatakan menyewa bilik di pangsapuri itu bersama anak perempuan berusia lima tahun sejak November tahun lalu.

myMetro 2 Mac 2016


Didakwa bunuh bayi baru lahir

Kuala Lumpur: Wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membaling bayi perempuan yang baru dilahirkan dari tingkat 18 Flat Danau Kota, akhir Februari lalu.

Norazwani Mohd Nor, 38, didakwa membunuh bayi perempuan dengan membalingnya dari tingkat 18, blok C, Jalan 3/23D off Jalan Genting Klang, Setapak di sini, 8.11 pagi, pada 29 Februari lalu.

Tertuduh hanya mengangguk dan menjawab 'saya faham' selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Radziah Kamarudin.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Mahkamah menetapkan 9 Mei ini untuk sebutan semula kes.

myMetro 7 Mac 2016



0 comments:

Post a Comment