February 28, 2016

Warga Pulau Kundor diuji lagi

Kediaman yang rosak akibat hempasan ombak malam kelmarin.

KOTA BHARU - Belum pun reda dengan bencana air pasang besar pada 7 Februari lalu, kira-kira 15 penduduk di Kampung Pantai Pulau Kundor dikejutkan dengan kejadian sama yang berulang kembali malam kelmarin.

Akibat hempasan ombak yang kuat, dua kediaman penduduk di sini rosak teruk dalam kejadian itu.

Penduduk, Rakiah Yusoff, 54, berkata kejadian kira-kira jam 8 malam itu berlaku ketika bapanya, Yusoff Ali, 87 sedang membaik pulih kediamannya bersama anak-anaknya.

“Mujur ayah sempat selamatkan diri, lagipun kejadian berlaku begitu pantas dan menyebabkan dinding rumah tercabut dan kesemuanya dihanyutkan ke pantai.

“Apapun saya bersyukur biarpun rumah saya rosak teruk dalam dua kejadian pada Januari dan awal Februari lalu, namun dalam kejadian terbaru ini tiada sebarang kecederaan berlaku,” katanya.

Menurut Rakiah, sehingga kini dia tidak dapat pulang ke rumah dan terpaksa menumpang di rumah anak di Kampung Panjang selepas ditempatkan di penempatan sementara di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Kundor dalam kejadian sebelum ini.

Ekoran kejadian itu berulang, dia mengharapkan bantuan dipercepatkan memandangkan kini dia tidak mempunyai tempat tinggal dan mungkin akan berteduh di bangsal batik yang terletak lima meter dari pantai buat sementara waktu.

Sementara itu, Yusoff berkata, dia tidak menyangka kejadian itu berulang dan buat masa ini mereka sekeluarga berteduh di kawasan bangsal ekoran kediamannya dilanda ombak dalam kejadian terbaru semalam.

“Saya tiada tempat tinggal lain dan rumah inilah satu-satunya tempat kami berteduh. Saya harap bantuan disegerakan,” katanya.

Sinar Harian 27 Feb 2016

0 comments:

Post a Comment