February 29, 2016

Warga Nepal maut ditikam rakan senegara

RAWANG - Seorang lelaki warga Nepal maut akibat ditikam selepas bergaduh dengan salah seorang rakan senegaranya dalam kejadian di Pangsapuri Taman Pelangi di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.19 malam itu, mangsa yang berusia 21 tahun dipercayai berselisih faham dengan suspek berusia 20 tahun yang juga jirannya ketika sedang minum minuman keras di hadapan rumah mangsa.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam memaklumkan berlaku insiden pergaduhan beberapa lelaki Nepal yang dalam keadaan mabuk.

"Mayat mangsa ditemui di laluan pejalan kaki kawasan tersebut dan dia dipercayai mati akibat ditikam menggunakan senjata tajam di dada sebelah kiri.

"Ketika kejadian, mangsa bersama suspek serta beberapa rakannya sedang mabuk di hadapan rumah mangsa sebelum berlaku perselisihan faham antara mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ali berkata, suspek berjaya ditahan bersama senjata yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.

"Kita turut menahan 17 orang warga Nepal bagi membantu siasatan dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - Bernama

29 Feb 2016

0 comments:

Post a Comment