February 23, 2016

Warga Myanmar didakwa bunuh pemandu lori

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki warga Myanmar dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini, hari ini bagi pertuduhan membunuh seorang pemandu lori di Pasar Borong Selayang, Selangor, bulan lepas.

Zubair Nurullah, 47, seorang peniaga sayur, didakwa membunuh lelaki tempatan, M. Kamarajan, 33, di tempat letak kereta awam Jalan 5/3A, Pasar Borong Selayang di sini pada 3.45 pagi, 14 Januari lepas.

Bapa seorang anak itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh di hadapan Majistret Erry Shahriman Nor Aripin, kerana kes itu merupakan bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mahkamah kemudian menetapkan 22 April depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat dan laporan kimia.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Diana Nor Azwa manakala tertuduh diwakili peguam Mohamed Shamril Afzan Mohamed Hasim.

Turut hadir anggota keluarga tertuduh termasuk isterinya yang sarat mengandung yang dilihat menangis teresak-esak sepanjang prosiding itu.

Akhbar melaporkan mangsa ditemui mati selepas dipercayai ditikam sebanyak tujuh kali di bahagian badan dalam insiden pergaduhan di Pasar Borong Selayang, Selangor.  - Bernama

23 Februari 2016

 

0 comments:

Post a Comment