February 8, 2016

Warga emas maut dirempuh kereta

TELUK INTAN - Seorang warga emas maut setelah basikal yang dikayuhnya dirempuh sebuah kereta jenis Proton Saga di Jalan Pasar jam 11 malam semalam.

Mangsa Wu Min Kong, 85, dari Taman Damai, Jalan Pasir Bedamar dikatakan sedang mengayuh basikal melalui Jalan Pasar ketika kejadian.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, berdasarkan siasatan awal, pemandu kereta berkenaan dikatakan lambat mengesan kehadiran mangsa di lokasi kejadian.

"Ketika kejadian mangsa sedang mengayuh basikal di hadapan kereta berkenaan, namun pemandu terbabit lambat mengesan mangsa kerana hujan lebat serta tidak mempunyai lampu jalan.

"Akibat daripada itu pemandu kereta tersebut telah membrek secara mengejut sehingga menyebabkan bahagian belakang kenderaannya membuang ke kiri lalu mengakibatkan pintu kirinya melanggar belakang basikal mangsa," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya lagi, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu kereta berkenaan mengalami kecederaan di kepala.

"Kita telah menahan pemandu kereta berusia 20 tahun yang merupakan seorang pelajar Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) bagi siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ)," katanya.

Sinar Harian 6 Feb 2016

0 comments:

Post a Comment